KUALA LUMPUR — Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan seorang artis yang juga pengurus syarikat kosmetik berusia 40 tahun, bahawa wang simpanan peribadi dalam akaunnya berjumlah RM29,313.20 telah lesap tanpa pengetahuannya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa) oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Brickfields bagi tindakan lanjut.
“Dalam siasatan awal, mangsa di dalam kes ini telah membuat semakan penyata akaun peribadi pada 13 Januari 2024 dan mendapati terdapat 11 transaksi mulai 8 Januari sehingga 12 Januari lalu tanpa pengetahuan berjumlah RM29,313.20.
“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga atau menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (one-time password) bagi kesemua transaksi tersebut,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amihizam turut menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.
“Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, boleh disalurkan kepada hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi media sosialnya, pelakon Dynas Mokhtar mendedahkan duit dalam akaunnya telah lesap dan hanya menyedari perkara itu sewaktu ingin membayar gaji pembantu peribadinya.
“Ketika itulah saya sedar hampir kesemua duit dalam akaun simpanan saya hilang. Saya tak pernah ada kad kredit, saya cuma ada kad debit. Saya fikir kad debit lebih selamat sebab kita tak berhutang.
“Bila saya semak penyata akaun bank saya, saya lihat ada transaksi dari mata wang yang pelik-pelik seperti dari Hong Kong dan banyak lagi. Saya tak boleh dedah terlampau banyak maklumat kerana pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya. – 16 Januari, 2024