SERDANG – Kerajaan memberi fokus terhadap menggerakkan dasar negara menerusi Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri yang dijadual bermula esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan Kerajaan Perpaduan pimpinannya pada masa kini adalah terus melihat ke hadapan bagi melonjakkan ekonomi negara.
“Fokusnya lebih kepada mahu melihat ke depan, tentang program pelaksanaan, isu lebih (kepada) dasar yang harus kita maju ke depan…bagaimana langkah lebih spesifik.
“Kita sudah ada perkara asasnya, dari segi peralihan tenaga, transformasi digital dan pelaburan.
“Tetapi apa kita mahu adalah bagaimana kita boleh mencari ikhtiar baru yang betul-betul boleh melonjakkan kekuatan ekonomi dan negara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Anwar memaklumkan, isu miskin tegar antara perkara diberi tumpuan bagi memastikan tiada mana-mana pihak, tercicir dalam usaha kerajaan membasmi masalah terbabit.
“Menoktahkan kemiskinan, kita dah dapat beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), Negeri Sembilan selesai untuk tahun 2023… tidak bermakna selesai pada tahun ini.
“Tetapi saya masih dapat laporan terkini kalau ada sedikit tercicir di mana-mana negeri,” katanya.
Program Pemukiman Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan dalam pentadbiran semasa.
Ia diselaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran kerajaan.
Agenda itu mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan.
Malah, ia juga menyasarkan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan. – 16 Januari,2024