KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh wajar memperbetulkan kenyataannya hari ini yang memaklumkan pihaknya tidak berkewajipan untuk memberi alasan pengguguran pertuduhan kepada sesiapa.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan, ia perlu dilakukan demi memelihara hormat dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
“Beliau hendaklah sentiasa berpegang kepada tanggungjawab memelihara keyakinan rakyat kepada sistem perundangan dan kehakiman negara.
“… dengan cara memberi kenyataan yang penuh dan lengkap apabila mana-mana keputusan berprofil tinggi dibuat untuk melepaskan atau menggugurkan pertuduhan.
“Supaya pihak hakim, sistem kehakiman tidak dituding jari secara salah sepertimana dinyatakan dengan betul dan tepat oleh Ketua Hakim Negara,” katanya hari ini.
Menerusi laporan sebuah portal berita hari ini, Ahmad Terrirudin dalam ucapan pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 dipetik berkata, semasa melaksanakan kuasa ini (di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan), pendakwa raya tidak diwajibkan untuk memaklumkan mana-mana pihak (atas sebab di sebalik penarikan balik pertuduhan terhadap tertuduh).
“Pejabat Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk menunaikan kewajipannya dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Mohamed Haniff berkata, amat penting supaya pendakwa raya iaitu Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan.
“Rakyat tidak faham selok-belok perundangan dan (ia parlu dilakukan) untuk mengelak tuding jari menyalahkan sistem kehakiman negara yang boleh menjatuhkan hormat masyarakat terhadap sistem kehakiman.
“Jadi amat penting supaya pendakwa raya iaitu pejabat peguam negara mengeluarkan kenyataan. Kenapakah pengguguran kes dilakukan dalam kes yang melibatkan kepentingan awam.
“Walhal seperti peguam negara katakan, bagi membolehkan peguam negara menjalankan kes atau membuat keputusan di bawah Perkara 145 Fasal 3, penting kenyataan dikeluarkan supaya melalui kenyataan tersebut rakyat dapat menilai adakah keputusan pengguguran itu without fear or favour (tanpa rasa takut atau pilih kasih) atau pun dengan fear or favour.
“… dan perkara ini akan menjatuhkan atau meluputkan persepsi rakyat yang salah selama ini,” katanya.
Tambah beliau, berbeza dengan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang ialah kuasa pendakwa raya, bukannya mahkamah.
Katanya, apabila pihak pendakwaan menarik balik sesuatu pertuduhan, mahkamah jenayah hanya ada pilihan yang terhad, iaitu membenarkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau memberi pembebsan penuh.
Haniff berkata, Ketua Hakim Negara kemudian merujuk kepada kes jenayah berprofil tinggi tahun lalu, apabila hakim yang memberikan keputusan DNAA dianggap kononnya korup dan tidak kompeten oleh masyarakat.
“Sebenar-benarnya apabila kes berprofil tinggi dilepaskan pertuduhan, ditarik balik pertuduhan dan kemudian mahkamah perintah perlepasan sama ada perlepasan DNAA tanpa pembebasan atau perlepasan sama pembebasan.
“Rakyat yang tidak mengetahui selok-belok perundangan dan kehakiman akan menuding jari secara salah kepada mahkamah, seolah-olah mahkamah yang membuat keputusan pengguguran pertuduhan tersebut.
“Walhal seperti yang betul dan tepat dinyatakan Ketua Hakim Negara, bahawa pilihan yang ada ditangan hakim, apabila pendakwa raya yang gugurkan pertuduhan adalah cuma untuk memberi satu daripada dua pilihan sama ada pelepasan tanpa pembebasan DNAA ataupun pembesasan mutlak,” katanya. – 15 Januari, 2024