Tiga lelaki mengaku salah guna dokumen palsu kurangkan duti kereta mewah

Hakim bagaimanapun menetapkan untuk menjatuhkan hukuman esok

5:09 PM MYT

 

ALOR SETAR – Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dipercayai untuk mendapatkan pengurangan duti kereta mewah sedangkan kenderaan terlibat tidak layak menerimanya.

Tertuduh Mohd Noh Hussain, 47, Mohd Khairol Suberi, 36, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagaimanapun, Rohatul Akmar menetapkan untuk menjatuhkan hukuman esok.

Mohd Noh yang merupakan bekas pengurus gudang didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akuan palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Sepuluh lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Mohd Noh dipertimbangkan sebagai “take into consideration” (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Mohd Khairol yang bekerja sebagai ‘runner’ didakwa atas dua pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 27 April 2021 serta antara 21 April dan 22 April 2021.

Fairul Ismazi yang bekerja sendiri juga didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama, pada 22 November 2021.

Kelima-lima pertuduhan itu ke atas tiga tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Rohatul Akmar membenarkan Mohd Noh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala Mohd Khairol dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Fairul Ismazi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd Afif Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Quah Chien Chieh serta Mohd Hakim Hamran. – 15 Januari, 2024

Topics

Hangat

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related