Jokowi terkejut nisbah lulusan master, PhD Indonesia rendah berbanding Malaysia, Vietnam

Beliau mahu mengumpulkan menteri bagi membincangkan perkara tersebut yang dilihat terlalu jauh

2:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jakowi) mengakui terkejut dengan nisbah jumlah lulusan ijazah sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (PhD) di Indonesia berbanding penduduk produktif yang masih rendah.

Menurut beliau, data itu menunjukkan Indonesia kalah kepada Malaysia dan Vietnam.

Jokowi berkata, nisbah graduan sarjana dan PhD kepada penduduk produktif di Malaysia dan Vietnam adalah lima kali ganda berbanding Indonesia.

“Saya terkejut Indonesia berada pada 0.45 peratus. Negara jiran kita, Vietnam dan Malaysia, sudah berada pada 2.43 peratus. Negara maju berada pada 9.8 peratus. Itu jauh sekali (berbanding Indonesia),” katanya pada perasmian Konvensyen Kampus XXIX dan pertemuan tahunan Forum Canselor Indonesia di Surabaya hari ini.

Seperti dilaporkan CNN Indonesia, Jokowi berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Indonesia memerlukan sumber manusia yang unggul untuk menghadapi persaingan global dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau akan mengumpulkan menteri khusus untuk membincangkan perkara tersebut.

“Minggu ini saya akan membincangkan perkara ini dan mengambil dasar untuk mengejar angka itu yang masih 0.45 peratus,” katanya.

Jokowi turut berkongsi hasil kunjungan rasminya ke Amerika Syarikat (AS) dan beliau melihat kampus di negara itu khususnya dalam sektor teknologi didominasi oleh pelajar dari China dan India.

Pada masa yang sama katanya, hanya terdapat kira-kira lima pelajar dari Indonesia di kampus tersebut.

Beliau berkata, pendidikan tinggi adalah penting dan menjadi modal negara membangun untuk maju.

“Saya kemudian terfikir, inilah yang menyebabkan China melonjak ke hadapan dalam tempoh 20 tahun lalu dan mengatasi negara yang sudah maju,” katanya. – 15 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related