KUALA LUMPUR – Dakwaan sebuah cawangan rangkaian restoran McDonald’s di Shah Alam menamatkan operasi perniagaan, ‘kecoh’ diperkatakan di media sosial sehingga ia tular sejak beberapa hari lalu.
Menurut perkongsian warga maya, mereka mendakwa cawangan terletak di sebuah pasar raya di Seksyen 13 yang beroperasi sejak puluhan tahun itu sudah ditutup, dipercayai kerana jumlah pelanggan semakin berkurangan.
Ada antara mereka berkongsi foto ‘roller shutter door’ cawangan McDonald’s itu yang ditutup pada waktu perniagaan biasa, biarpun premis lain di sekitarnya beroperasi seperti biasa.
Susulan dakwaan itu, Scoop membuat tinjauan pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi di cawangan berkenaan bagi mendapatkan kepastian.
Ternyata, cawangan itu tidak beroperasi dengan roller shutter door premis berkenaan ditutup.
Biarpun tiada notis ditampal di pintu restoran, operasinya didakwa sudah dihentikan sejak 1 Januari lalu, seperti dimaklumkan pekerja premis berhampiran.
“Ya cawangan ini sudah tidak beroperasi sejak 1 Januari lepas, masa tu pekerja dah kemas-kemas barang.
“Daripada apa yang saya dengar, pekerjanya dipindahkan untuk bekerja di cawangan lain,” dakwanya kepada Scoop.
Manakala, seorang pekerja premis lain turut mengeluarkan dakwaan sama bahawa cawangan itu sudah ditutup sejak awal tahun ini.

Ditanya sekiranya dia maklum punca penutupan itu dan sama ada ia disebabkan kekurangan pelanggan atau kempen ‘boikot’, wanita terbabit tidak menolak kemungkinan berkenaan.
Katanya, apapun, daripada pemerhatiannya, dia mengakui restoran itu sememangnya semakin kurang pelanggan.
“Pelanggan nampak semakin kurang sejak beberapa bulan lalu, tapi saya pun tak pasti sangat punca sebenar ia ditutup,” katanya.
Sebelum ini, beberapa netizen membangkitkan persoalan benarkah cawangan McDonald’s itu sudah dihentikan perniagaannya kerana masih ditutup walaupun sudah masuk waktu ia sepatutnya beroperasi.
“McDonald’s Seksyen 13 memang tak buka ke hari ini. Aku datang lepas jam 10 pagi masih tutup,” kata seorang individu.
“Dengarnya memang dah tutup,” jawab individu lain.
Segelintir pula, terutama pelanggan yang sering berkunjung ke situ terkejut apabila mendengar dakwaan ia sudah dihentikan operasi.
“Biar betul dah tutup, McDonald’s ni (Seksyen 13) legend,” tulis seorang pengguna.
Scoop sudah menghubungi McDonald’s Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu penutupan terbabit.

Terdahulu, wujud kempen boikot terhadap McDonald’s sejak peperangan antara Israel dengan Palestin tercetus 7 Oktober lalu, susulan jenama itu didakwa terbabit dalam penyaluran bantuan dan makanan untuk menyokong tindakan kejam rejim Zionis.
Kempen itu menyaksikan McDonald’s Malaysia turut menerima pelbagai cemuhan masyarakat dan diboikot teruk, sehingga ia dikatakan memberi kesan kepada syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, McDonald’s Malaysia menerusi kenyataannya menjelaskan, tindakan McDonald’s Israel menunjukkan sokongan dengan menyumbang bantuan dan makanan kepada tentera Zionis adalah bersifat peribadi serta tidak mempunyai kaitan dengan pihaknya.
McDonald’s Malaysia sekali lagi menegaskan pemilik perniagaan itu (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) adalah syarikat operasi tempatan, dengan perniagaannya 100 peratus milik orang Islam sejak diambil alih Lionhorn Pte Ltd, iatu sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi sejak 2017 – 14 Januari, 2024