Jawatankuasa khas perhalusi isu percanggahan pendaftaran pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun antara negeri: Na’im

Ketika ini, lapan negeri mengkehendaki keizinan daripada sama ada ibu atau bapa, manakala lima negeri memerlukan persetujuan kedua-dua mereka

6:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Percanggahan mengenai kebenaran penukaran unilateral berkaitan pendaftaran pengislaman membabitkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun antara negeri, akan diperhalusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau sudah mengusulkan perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Tun Zaki Tun Azmi untuk memperhalusinya.

Katanya, langkah itu dilakukan supaya pendaftaran pengislam golongan terbabit diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Pada ketika ini, terdapat lapan negeri yang mengkehendaki keizinan hanya daripada satu pihak, sama ada ibu atau bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun, iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis.

“Lima negeri yang mengkehendaki keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, bagi Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Johor, peruntukan mengenai keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun, adalah peruntukan asal dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Enakmen Majlis Agama Islam negeri.

Manakalan, katanya, Pahang menggantikan perkataan ‘ibu atau bapa’ kepada ‘ibu dan bapa’ pada 2020, iaitu selepas keputusan kes Indira Gandhi.

Pada masa sama, Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada Loh Siew Hong yang ditukar secara unilateral oleh bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy.

“Saya percaya penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik, bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” katanya.

Na’im menegaskan, dalam kes itu, Mahkamah Rayuan memutuskan kes penukaran agama secara unilateral mahkamah adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 dalam kes Indira Gandhi.

Kes Indira Gandhi itu, katanya, menyaksikan Mahkamah Persekutuan dalam kes terbabit memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu dalam hal pemelukan agama Islam anak yang berumur di bawah 18 tahun, sekiranya kedua-dua ibu bapa masih hidup.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi juga mentafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan penukaran agama kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun kepada agama Islam, hendaklah dengan kebenaran ibu dan bapa seperti yang berikut:

“Penukaran kepada agama lain adalah keputusan penting yang memberi kesan pada kehidupan seorang kanak-kanak, mengenakan dirinya satu gugusan undang-undang peribadi baharu dan berbeza. Jika keputusan sebesar penukaran agama seorang kanak-kanak dibuat, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran kedua-dua ibu bapa diperlukan demi kepentingan kanak-kanak tersebut. Pendekatan bertentangan yang membenarkan seorang kanak-kanak ditukar agamanya dengan kebenaran sama ada ibu atau bapa sahaja akan membangkitkan kepayahan amalan.

“Bacaan tujuan per 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan kebajikan seorang kanak-kanak dan selaras dengan sikap wajar mengkehendaki agar kebenaran kedua-dua ibu bapa (jika mereka masih hidup) bagi penukaran agama kanak-kanak bawah umur. Memandangkan penjagaan anak-anak ini diberi kepada perayu, perayulah yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan mereka. Untuk membenarkan satu lagi pasangan menukar agama anak-anak secara sebelah pihak tanpa kebenaran perayu terjumlah sebagai campur tangan serius kehidupan keluarga,” katanya.

Pada masa sama, Na’im berkata, sementara menunggu percanggahan berkaitan pendaftaran pengislaman membabitkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun antara negeri diperhalusi jawatankuasa berkenaan, semua umat Islam dan seluruh rakyat di negara ini diminta bertenang.

“Mereka juga diminta tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita,” katanya. – 13 Januari, 2024

Topics

Hangat

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related