KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan membentangkan satu rang undang-undang (RUU) Parlimen berpenggal tetap bagi memastikan kerajaan yang dibentuk akan kekal sehingga penggal tamat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
RUU itu penting untuk mengelak insiden pertukaran tiga pentadbiran kerajaan dengan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal seperti yang berlaku pada penggal ke-14 tidak berulang lagi.
“Saya fikir harus ada satu perubahan langkah dan minda oleh ahli-ahli politik supaya suatu gabungan parti politik yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, ianya mesti tamat hingga penggal sesuatu parlimen.
“Kita tidak mahu sebagaimana berlaku penggal ke-14, tiga Perdana Menteri dalam satu penggal. Kesannya adalah pada rakyat, pertumbuhan ekonomi tidak dapat dipertingkatkan dan kebetulan kita mengalami pandemik Covid-19 ketika itu.
“Jadi pengalaman itu cukup pahit untuk negara kita, sebab pihak pelabur memerlukan kestabilan politik (untuk melabur),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Madani yang ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah harus dipertahankan.
“Kestabilan ini wujud di bawah Kerajaan Madani yang dimulakan oleh Titah Tuanku untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini harus dipertahankan.
“(Jadi) Saya ingin menyarankan supaya satu RUU dibentangkan bahawa jika sesebuah kerajaan itu diwujudkan atas sama ada sesebuah parti itu dominan atau gabungan parti-parti politik itu dominan, mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus kekal sehingga ke akhir penggal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik mereka.
“Saya fikir kita harus bertindak dan berfikiran lebih positif dalam hal ini dan biarpun politik itu sangat dinamtik dan pragmatik, kita harus lebih praktikal untuk menjaga sebuah negara.
“Kita boleh berbeza pendapat tapi untuk kepentingan negara kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai satu bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik.
“Cukuplah kita belajar daripada pengalaman lalu, marilah kita lupakan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli politik demi rakyat keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan.
“Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mencabar pembangkang membawa usul tidak percaya terhadap dirinya sebagai Perdana Menteri pada sesi persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula pada 26 Februari ini.
Ia susulan kewujudan ‘Langkah Dubai’ yang dikaitkan dengan pelan pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi penggunaan akuan bersumpah (SD). – 13 Januari, 2024