Batalkan lesen, kenakan tindakan tegas terhadap syarikat gaji pengawal keselamatan haram

Tindakan syarikat menyediakan pengawal keselamatan warga asing haram, membahayakan nyawa masyarakat

6:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Segelintir syarikat kawalan keselamatan diakui sengaja menggaji pengawal keselamatan warga asing haram demi meraih keuntungan, walaupun ia menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal warga asing secara haram, termasuk membatalkan lesen mereka.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, KDN juga perlu mengadakan operasi bersepadu bagi menangkap pengawal keselamatan asing yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Sudah tiba masa pihak berkuasa memastikan hanya pengawal keselamatan diluluskan KDN diambil bekerja.

“PIKM memandang serius laporan penangkapan 10 buruh asing yang tiada permit di sekitar Lembah Klang, membabitkan warganegara India, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka, dengan semua mereka tidak memiliki permit bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Pengawal keselamatan yang dibenarkan bekerja adalah terdiri daripada warganegara Malaysia dan Nepal yang mempunyai permit untuk bekerja sebagai untuk pekerjaan itu di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Ubaidillah berkata, tindakan syarikat yang menyediakan pengawal keselamatan warga asing haram, akan membahayakan nyawa masyarakat kerana mereka tidak mempunyai tapisan keselamatan dan tidak berdaftar dengan KDN.

Malah, beliau menasihatkan semua pengguna serta masyarakat supaya menggunakan syarikat kawalan keselamatan berlesen dengan KDN dan menggaji pengawal keselamatan yang memiliki permit.

Pada masa sama, Ubaidillah menggesa KDN secara berterusan mengambil tindakan undang-undang di bawah peruntukan perundangan sedia ada kepada syarikat yang berbuat kesalahan berkenaan.

“Menurut rekod keahlian PIKM, terdapat 1,085 syarikat kawalan keselamatan dan 99 syarikat dibatalkan oleh KDN dari tahun 2014 hingga kini,” katanya.

Terdahulu, KDN melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 10 Januari lalu, bagi membanteras khidmat pengawal keselamatan asing di kawasan perumahan sekitar Lembah Klang

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, dalam operasi itu, tujuh kawasan perumahan diserbu selepas dikenalpasti menggunakan khidmat pengawal keselamatan asing, hasil daripada risikan anggota penguatkuasa PK.

Jelasnya, di Malaysia, hanya warganegara Malaysia yang lulus tapisan keselamatan dan warganegara Nepal mempunyai permit kerja sebagai pengawal keselamatan sahaja, dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan, seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan 2 Tahun 2006 Akta Agensi Persendirian 1971.

“Serbuan ini berjaya menahan 10 orang pengawal keselamatan asing kerana menjalankan khidmat kawalan keselamatan tanpa permit kerja sebagai pengawal keselamatan yang sah.

“Antara pengawal keselamatan asing yang ditahan dalam operasi ini adalah warganegara Pakistan, India, Sri Lanka dan Nepal,” katanya.

Nik Yusaimi berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63, iaitu melanggar syarat pas atau permit yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tegasnya, empat syarikat kawalan keselamatan dikenalpasti terbabit dalam pelanggaran itu dan proses siasatan sedang dijalankan, bagi mengambil tindakan tegas.

Syarikat kawalan keselamatan yang terbabit, katanya, boleh dikenakan tindakan sehingga dibatalkan lesen.

“Semua syarikat yang menjalankan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah digesa untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan, selain diwajibkan mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971,” katanya.

Mengulas lanjut, berliau berkata, masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat pengawal keselamatan daripada syarikat kawalan keselamatan, perlu memastikan syarikat berkenaan berdaftar dengan KDN.

“KDN akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras pelanggaran Akta Agensi Persendirian 1971.

“Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama bagi menyalurkan maklumat berkaitan pengawal keselamatan haram, dengan menghubungi talian 03-8000 8000/8889 3145, emel ke [email protected] atau melalui laman web www.moha.gov.my,” katanya. – 12 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related