MoT berjimat, tiada lagi majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya perayaan: Loke

Keputusan terbabit dibuat bertujuan mengurangkan kos penganjurannya yang menelan hampir RM200,000 bagi setiap kempen

1:19 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Bermula tahun ini, Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak akan mengadakan majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, keputusan terbabit dibuat bertujuan mengurangkan kos penganjuran majlis seperti itu yang menelan hampir RM200,000 bagi setiap kempen.

Katanya, ia termasuk perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siar raya (PA system) dan pemasangan khemah.

“Langkah penjimatan ini antara hala tuju MoT dalam melaksanakan lebih banyak lagi program berfaedah kepada masyarakat, sebagai contohnya pemberian topi keledar percuma.

All these launches are unnecessary (semua pelancaran ini tidak perlu), tetapi operasi bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diteruskan, ia tidak akan dihentikan. Kita hentikan perasmian sahaja,” katanya

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan Pengumuman Khas Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya syarikat swasta mahu membuat kempen mereka sendiri.

“Itu terpulang kepada mereka, yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik.

“Mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya.

Terdahulu, dalam amanatnya, Loke berkata, antara fokus MoT pada tahun ini adalah dengan membudayakan aspek keselamatan tidak kira sektor darat, udara mahupun maritim.

Memberi contoh bahawa hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya pada 2023, beliau berkata, keselamatan pengguna pengangkutan awam menjadi keutamaan MoT dan program yang akan dilaksanakan kelak perlu mencapai tujuannya.

“Fokus lain termasuk memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam serta logistik, mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan serta memacu intervensi dasar berdasarkan inovasi pendigitalan,” katanya. -12 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related