Penduduk Pulau Pinang lega bekalan air beransur pulih

Bagi penduduk di kawasan yang belum menerima air pula mereka berharap bekalan dapat dipulihkan dalam masa terdekat

1:11 PM MYT

 

GEORGE TOWN – Pengguna di sebahagian besar kawasan di Seberang Perai dan bahagian pulau di negeri ini yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual susulan kerja-kerja penggantian dua injap kawalan bersaiz 1.2 meter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, mendapat semula bekalan secara berperingkat sejak semalam.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata mereka melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana bertungkus-lumus sejak Rabu lepas demi memastikan pengguna yang terjejas memperoleh semula bekalan air mengikut tempoh dijadualkan.

Amalina Musa, 28, dari Seberang Perai Utara (SPU) memberitahu, kawasan rumahnya di Maklom, Sungai Puyu sudah ada air sejak tengah malam semalam.

“Sekitar 10.30 malam Rabu lepas saya ada cuba buka paip kalau-kalau ada air tapi tak ada, selepas itu cuba lagi pada 12 tengah malam Alhamdulillah ada.

“Saya cepat-cepat tadah dan isi dalam tong kerana takut kalau air terputus semula sebab susah apabila tidak ada air, banyak urusan di rumah tertangguh,” katanya kepada Bernama.

Amalina yang mengusahakan bengkel kereta turut lega kerana sudah boleh menyambung semula perniagaan seperti biasa.

Menurut PBAPP, pengujian dan pengoperasian semula secara beransur-ansur saluran paip dasar Sungai Perai yang siap dibaiki semalam telah selesai. – Gambar ihsan PBAPP, 12 Januari, 2024

Sementara itu, Noor Atikah Zainal Anuar, 40, berkata, kawasan rumahnya di Flat Sri Bayu, Bayan Lepas juga sudah mula menerima bekalan air pada 6.10 pagi tadi.

“Terkejut juga dah ada air, lebih awal daripada jangkaan…air yang ditadah sebelum ini pun masih banyak.

“Apapun, syukur dan terima kasih kepada PBAPP yang memudahkan urusan kami semua,” katanya.

Bagi penduduk di kawasan yang belum menerima air pula mereka berharap bekalan dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang sejak beberapa hari lalu menyukarkan kehidupan penduduk, namun ia kini beransur pulih. – Gambar ihsan ADUN PH N38 Bayan Lepas, 12 Januari, 2024

Mohd Faizal Hashim, 37, yang tinggal di Teluk Kumbar berkata walaupun bekalan air belum pulih di kawasan perumahannya, dia tidak begitu risau kerana terdapat tangki disediakan untuk kegunaan penduduk.

“Di sini ada tangki besar diletakkan jadi tak risau sangat. Kita faham PBAPP sedang bekerja keras dan harap segalanya dipermudahkan dan bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya di semua kawasan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

PBAPP dalam kenyataan pagi ini memaklumkan tahap kedua pemulihan bekalan air telah bermula dari 6 pagi tadi dengan pengepaman optimum air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau dan menyasarkan untuk memulihkan bekalan kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam. – 12 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related