Batik Air tawar penerbangan tambahan sempena Tahun Baharu Cina: Loke

KTMB juga tambah enam perkhidmatan tren elektrik setiap hari dari KL Sentral.

11:45 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Batik Air bersetuju menawarkan penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Februari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau mengambil maklum semua tiket penerbangan ekonomi dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi tiga hari sebelum Tahun Baharu Cina telah habis dijual dan tiket berbaki adalah kelas perniagaan.

“Susulan ini, saya telah meminta kerjasama Batik Air Malaysia untuk menyokong usaha Kementerian Pengangkutan menambah baik kapasiti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa Batik Air Malaysia telah menyahut seruan kerajaan dengan menawar penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Februari 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan Sidang Media Pengumuman Khas Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sini hari ini.

Loke berkata, beliau maklum bahawa mulai 8 Februari, Batik Air yang sebelum ini hanya menyediakan perkhidmatan penerbangan dari Kuala Lumpur ke dua bandar di Malaysia Timur, iaitu Kuching dan Kota Kinabalu, akan memulakan perkhidmatan berjadual ke Sibu dan Tawau.

Menurut Anthony Loke, Kementerian Pengangkutan telah meminta kerjasama Batik Air Malaysia untuk menambah kapasiti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu. – Azim Rahman/Scoop, 12 Januari, 2024

“Sebagai menyokong mesej Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, Batik Air juga telah bersetuju untuk menawarkan tambang ekonomi harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu.

“Tambang khas ini akan terpakai untuk lapan penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi perjalanan dari 6 Februari 2024 sehingga 9 Februari 2024. Penjualan tiket bermula serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebagai tambahan kepada tambang tetap oleh AirAsia yang telah diumumkan pada minggu lepas 
dan juga tambahan 20 penerbangan oleh Malaysia Airlines dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak untuk Musim Tahun Baru Cina setakat 4 Januari 2024.

Selain itu katanya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penambahan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) setiap hari iaitu empat perkhidmatan tambahan sehari bagi laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 Februari 2024 sehingga 13 Februari 2024.

KTMB mengumumkan penambahan enam perkhidmatan ETS setiap hari hari bagi laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 Februari 2024 sehingga 13 Februari 2024. – Gambar Scoop, 12 Januari, 2024

“Dua perkhidmatan tambahan sehari bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral pada 7 Februari 2024 sehingga 10 Mac 2024.

“Untuk makluman, dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral adalah tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu 2 jam 40 minit.

“Tren ekspres ini hanya akan berhenti di tiga stesen sahaja, iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur dan Ipoh.

Loke berkata, keseluruhan tiket tambahan yang ditawarkan sepanjang Tahun Baharu Cina dan Cuti Sekolah adalah sebanyak 29,526 manakala untuk 32 perkhidmatan ETS sedia ada, jumlah tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 10,180 sehari.

“Tiket-tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual kepada orang ramai bermula pada 15 Januari ini, iaitu Isnin depan pada jam 12 tengah hari. 

“Orang ramai boleh membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk-kiosk tiket yang tersedia di semua stesen-stesen utama KTMB,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, bagi menampung permintaan bas yang tinggi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bermula 15 Januari 2024 sehingga 2 Februari 2024.

“Permohonan ini akan membenarkan bas kategori lain untuk menawarkan perkhidmatan membawa penumpang balik kampung sempena musim Tahun Baharu Cina sekiranya menepati syarat.

“Tempoh sah laku LPS ini adalah pada 7 Februari sehingga 18 Februari 2024,” katanya. – 12 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related