KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang hanya mencetuskan isu sebagai permainan untuk mewujudkan propaganda bagi menipu penyokong mereka.
Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya ke Parlimen.
Katanya, sikap itu terbukti apabila sehingga sekarang, pembangkang belum pernah mengemukakan usul seumpama itu sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan memerintah negara.
“Dah lama dah dia (pembangkang) tidak bawa (usul tidak percaya), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada.
“Jadi kita tidak fikir bab tu, saya tidak fikir dia ada kekuatan untuk bawa ini (undi tidak percaya), selain propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya tidak hilang semangat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri, hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas sama ada pembangkang berani membawa usul tidak percaya, susulan peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim supaya pembangkang membuat usul itu sekiranya serius mahu menguji keabsahan Perdana Menteri.
Semalam, Hassan ‘mengingatkan’ supaya pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar, sekiranya mahu menguji keabsahan Perdana Menteri sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat yang mula bersidang pada 26 Februari depan.
Anwar berkata, pandangan dilontarkan Hassan itu sesuai kerana saban hari tercetus isu dan kenyataan berhubung beberapa isu, seperti akuan bersumpah (SD) serta Langkah Dubai.
“Sekarang dah terbukti bahawa itu semua hanya ‘politik cemas’ dalam kalangan mereka yang kehilangan modal.
“Jadi, saya nasihat Jemaah Menteri dan pimpinan kerajaan umumnya, supaya menumpukan perhatian untuk membangunkan negara. Tahun 2024 fokus kita ialah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” katanya.
Pada Ahad lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ia hanya menunggu masa sahaja untuk kerajaan pimpinan Anwar ‘tumbang’.
Bagaimanapun, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN tidak memaklumkan secara terperinci mengenai dakwaannya itu, termasuk mengenai jumlah SD diperoleh.
“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya seperti dilaporkan media.
Manakala, pada akhir Disember lalu, seorang pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komunikasi (J-Kom) mendedahkan muncul komplot Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang, termasuk beberapa wakil tertentu kerajaan dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan pihak kerajaan itu di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkenaan.
Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan baharu.
Malah, individu terbabit mendakwa terdapat pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar. – 11 Januari, 2024