Gangguan bekalan air Pulau Pinang: PdPR berjalan lancar, tiada masalah murid akses pendidikan – Fadhlina

Simpanan air bagi sekolah berasrama mencukupi terutama bagi kegunaan kantin sekolah

3:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membabitkan sekolah di Pulau Pinang yang terjejas susulan gangguan bekalan air berjadual, berjalan lancar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pemantauan dari segi pendidikan memperlihatkan bahawa guru dan sekolah bersedia untuk PdPR, begitu juga dengan akses untuk pendidikan, tidak berdepan masalah.

“Sepanjang hari ini dan sekolah yang dilawati, menyaksikan komitmen tinggi JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan sekolah untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas walaupun ketiadaaan air.

“Sebenarnya keadaan ini tidak pernah berlaku lagi dan ini adalah tempoh yang sangat baik untuk kita perkukuhkan beberapa elemen dalam pendidikan khususnya PdPR dan memastikan akses pendidikan kepada anak tetap sampai di mana sahaja mereka berada.

“JPN telah memantau dari segi persediaan guru, sekalipun anak-anak tidak ada peranti, mereka juga diberikan kertas kerja dan modul untuk menyiapkan kerja sekolah dan memastikan persekolahan tidak terjejas, jadi dari segi akses pendidikan tidak ada sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Fadhlina dalam lawatan sehari di negeri terbabit bagi melihat dan memantau ketiadaan bekalan air terutama di institusi pendidikan.

Sebelum ini JPN Pulau Pinang membenarkan semua sekolah di negeri itu mengikuti PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual berkenaan.

Selain itu Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, simpanan air bagi sekolah berasrama juga mencukupi terutama bagi kegunaan kantin sekolah.

“Proses terputus air ini tidak lama, dan ada sekolah yang sudah mula mendapat bekalan air. Dalam masa sama persiapan sekolah untuk bekalan air ini diuruskan baik sama ada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Terdahulu, seramai 590,000 pengguna air termasuk bukan domestik dijangka terkesan dengan ketiadaan bekalan susulan penutupan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian dua unit injap 1,200 milimeter (mm) yang rosak.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan gangguan berjadual selama 98 jam itu, bermula 6 pagi 10 Januari hingga 6 pagi 14 Januari turut membabitkan kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.

Sementara itu Fadhlina berkata, perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri terjejas banjir berjalan lancar dan tidak ada pusat peperiksaan yang ditutup.

“Setakat ini walaupun ada banjir, calon SPM tidak terjejas, mereka masih boleh meneruskan peperiksaan dengan dibantu oleh semua agensi.

“Kalau ada terputus jalan, tidak boleh sampai ke pusat peperiksaan agensi kerajaan akan bantu pelajar untuk sampai ke pusat peperiksaan malah tidak ada pusat peperiksaan yang ditutup,” katanya.

Ditanya mengenai isu pakaian seragam, beliau berkata, pihaknya masih mendengar pandangan semua pihak dan masih belum ada sebarang keputusan lanjut.

“Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan kerana masih mendengar input dan sumbang saran pihak berkepentingan dan pemegang taruh berkaitan isu pakaian seragam ini.

“Setakat ini teruskan dengan pemakaian yang ada, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian,” katanya.  – 11 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related