KUALA LUMPUR – Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menyerbu masuk ke dalam sebuah studio televisyen di bandar Guayaquil, Ecuador ketika sedang bersiaran langsung dan mengancam kakitangan yang ketakutan.
Detik cemas di mana kakitangan stesen terbabit diarahkan untuk meniarap di atas lantai dapat disaksikan menerusi saluran televisyen tempatan, TC sebelum sesi live (siaran langsung) itu ditamatkan.
Polis kemudian berjaya menumpaskan penjenayah, membebaskan kesemua kakitangan stesen terbabit dan melakukan 13 tangkapan.
Stesen televisyen itu berkata, dua pekerjanya cedera dalam insiden tersebut.
Breaking News: Armed gunman have just stormed a TV studio live on air in Ecuador and are taking hostages. This is an evolving situation.
— Jim Ferguson (@JimFergusonUK) January 9, 2024
Hooded gunmen have burst onto a live TV set in Ecuador.
Live television images broadcast on Tuesday showed hooded people inside Ecuador's TC… pic.twitter.com/KPSKoT4zoG
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh sejak Presiden Ecuador, Daniel Noboa, mengisytiharkan darurat selama 60 hari, sehari selepas banduan paling dikehendaki negara itu hilang dari penjara, tempat dia ditahan.
Tidak jelas sama ada kejadian di studio terbabit ada kaitan dengan kehilangan Adolfo Macias Villamar atau Fito, ketua kumpulan penjenayah Los Choneros, dari penjara.
Ecuador antara pengeksport pisang terkemuka dunia, selain minyak, kopi, koko dan produk laut.
Lonjakan keganasan di negara terbabit sama ada di dalam dan luar penjara, dikaitkan dengan pertempuran antara kartel dadah, ke atas kawalan laluan kokain ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. – 10 Januari, 2024