Terima, hormati keputusan mahkamah batalkan pengislaman 3 anak Siew Hong

Dalam undang-undang Islam, sesiapapun tidak dibenarkan memaksa seseorang untuk menganut agama berkenaan

3:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menerima dan menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan pengislaman tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang dibuat secara unilateral (sebelah pihak) oleh bekas suaminya tidak sah dan terbatal.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umum mengetahui dalam undang-undang Islam, sesiapapun tidak dibenarkan memaksa seseorang untuk menganut agama berkenaan.

Menurutnya, semua pihak perlu mengetahui bahawa ia isu keyakinan yang berdasarkan kebebasan memilih mana-mana agama yang ingin dianuti.

“Anak-anak Siew Hong kini sudah sampai ke tahap usia matang yang membolehkan mereka membuat pilihan mengenai agama manakah yang mereka ingin anuti.

“Cuma mereka hendaklah diberi kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, pada 25 Mac 2022, bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam sekali gus memohon membatalkan pengislaman berkenaan.

Siew Hong menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Wanita itu diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berusia I6 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, tawaran MAIPs untuk memberi bantuan kewangan kepada tiga kanak-kanak itu dan menyediakan pendidikan Islam untuk mereka sememangnya hasrat mulia, tetapi ia bergantung kepada ibu dan anak-anaknya untuk menerima atau menolaknya.

“Sebagai pihak berkuasa agama Islam tentunya MAIPs ingin melaksanakan tanggungjawabnya untuk memelihara aqidah dan kebajikan kanak-kanak berkenaan sekiranya mereka masih mahu menjadi orang Islam.

“Tetapi jika mereka sendiri memilih agama lain, maka mereka tidak boleh dipaksa untuk menerima tawaran tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati semua pihak agar dapat menghayati semangat toleransi beragama yang selama ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.

Katanya, semangat tersebut amat membantu mengekalkan kestabilan hidup pelbagai kaum di negara ini. – 10 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related