Isteri Daim dan dua anak tiba di SPRM untuk disoal siasat

Naimah mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan

10:37 AM MYT

 

PUTRAJAYA — Isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Naimah Khalid serta dua anak lelakinya tiba ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes rasuah.

Naimah serta anak-anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir tiba pada jam 10.10 pagi tadi, dengan diiringi dua peguam.

Ketika bercakap kepada media, Naimah mendakwa suaminya, Tun Daim Zainuddin dianiaya disebabkan kejayaan sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Tambah Naimah, kejayaan ini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik suaminya dan menggambarkan bahawa beliau seorang perasuah.

“Umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984. Malah, media secara meluas merujuk beliau hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

“Ia sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan terlepas daripada tuduhan sedemikian. Di lapangan awam, dakwaan seperti ini tidak mudah hilang begitu sahaja,” katanya di pekarangan ibu pejabat SPRM hari ini.

Peguam keluarga Daim telah mengeluarkan notis petang semalam mengenai ketiga-tiga mereka dipanggil oleh agensi pencegahan rasuah itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

“Kami merujuk kepada serbuan dan notis penyitaan baru-baru ini yang dilaksanakan di Menara Ilham.
“Sebagai melanjutkan siasatan di atas, SPRM telah memanggil isteri Tun Daim, Toh Puan Naimah Khalid dan dua anak lelakinya untuk hadir disoal siasat pada jam 10.30 pagi esok di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya,” demikian menurut notis tersebut.

Pada 4 Januari lalu, SPRM merekodkan kenyataan empat individu bagi membantu siasatan ke atas Daim.

Peguam mereka, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Sohanpal, mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa SPRM telah memanggil mereka untuk direkodkan kenyataan.

Pada 18 Disember, SPRM menyita Menara Ilham berhubung penglibatan Daim dalam dakwaan kes penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana awam pada 1990-an.

Penyitaan itu dibuat selepas SPRM memulakan siasatan ke atas pegangan kewangan Daim pada Mei.
Seminggu kemudian, SPRM mengesahkan siasatan terhadap Daim, dan berkata siasatan termasuk meneliti aset, perniagaan domestik dan antarabangsanya berikutan penyitaan Menara Ilham miliknya.

Mengulas lanjut Naimah berkata, lebih penting lagi, jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya digunakan untuk mencemar nama baik individu melalui sindiran dan tuduhan kononnya mengenai salah laku, ataupun digunakan untuk menyelesaikan pertelingkahan politik lampau.

“Inilah yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang beberapa kali kebelakangan ini mendakwa suami saya memiliki kekayaan haram, tanpa memberikan sedikit pun bukti.

“Adakah Perdana Menteri mencadangkan ahli perniagaan Melayu yang berusaha keras dan berkebolehan tidak boleh menjadi kaya tanpa menggunakan jalan tidak sah atau haram? Ini hanya menguatkan tanggapan stereotaip palsu mengenai keupayaan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun Perdana Menteri tidak menyukai Daim, tetapi beliau seharusnya menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah.

“Apakah di Malaysia hari ini, apa-apa andaian yang terbit dari pentas buli Perdana Menteri sudah cukup untuk menghukum seseorang?

“Hari ini keluarga saya, esok lusa siapakah lagi akan menjadi mangsa?,” soalnya.

Katanya, walau apa pun, pihaknya telah memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang.

“Walaupun kami tetap mempersoalkan motif siasatan. Kami tahu kami akhirnya akan dibuktikan tidak bersalah,” katanya. – 10 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Bar Council’s challenge of Pardons Board decision to reduce Najib’s sentence is ‘unprecedented’: Hamid Sultan

Retired judge says he has never heard of an attempt to impair a prisoner's constitutional rights, or an injunction to restrict their rights

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related