Wujudkan rumah pelacuran untuk pekerja asing: Kenyataan Rosyam Nor tidak bertanggungjawab

Pendapat itu tak sesuai dibicarakan secara terbuka, lebih sesuai sekadar ‘sembang kedai kopi’

8:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan dikeluarkan Datuk Rosyam Nor supaya diwujudkan rumah pelacuran untuk pekerja asing di negara ini disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dengan statusnya sebagai selebriti dikenali ramai.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pendapat Rosyam itu adalah tidak wajar dikongsikan secara terbuka sebaliknya topik tersebut lebih sesuai dibicarakan secara tertutup atau sekadar ‘sembang kedai kopi bersama kawan-kawan’.

“Walaupun semua orang berhak memberikan pendapat masing-masing tapi bagi saya isu ini mungkin boleh dikatakan secara tertutup atau berborak dengan kawan-kawan sahaja cukuplah.

“Tetapi untuk ia menjadi tontonan ramai adalah tidak berapa sesuai, saya hairan dengan kenyataan sebegini (dikeluarkan seorang selebriti).

“Sebagai seorang yang dikenali ramai, dia kena tahu kesan atau implikasi terhadap sebarang perkara yang diucapkan,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Katanya, untuk mengulas mengenai isu pelacuran, ia adalah bertentangan dengan nilai adab kita sebagai orang timur.

Dalam pada itu, pakar sosial, Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, setiap individu perlu menghormati undang-undang yang dibuat kerajaan termasuk melibatkan aktiviti pelacuran yang diharamkan di Malaysia.

Menurut beliau, aktiviti rumah pelacuran tidak wajar dinormalisasi atau ‘dihalalkan’ demi tujuan apa pun termasuk untuk ‘menampung keperluan’ nafsu warga asing yang bekerja di sini.

“Setiap negara ada peraturan dan undang-undang digubal oleh kerajaan masing-masing, dalam konteks Malaysia pelacuran bukan aktiviti yang sah kerana ia melanggar nilai norma masyarakat.

“Untuk menghalalkan atau membenarkan aktiviti sedemikian walaupun dikhaskan kepada warga asing, ia tetap tidak sesuai kerana seolah-olah tidak menghormati undang-undang negara kita.

“Pada saya, ia sangat tidak wajar dan setiap warga asing perlu menghormati peraturan sedia ada dalam negara kita, sama seperti kita ketika berada di Singapura tidak boleh mengunyah gula-gula getah, kenapa kita boleh ikut? Sebab kita hormat undang-undang mereka,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, sekiranya mana-mana warga asing terlibat dalam jenayah rogol, mereka tidak akan terlepas dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang negara.

“Mereka sebagai orang luar datang ke negara ini, tidak kiralah nafsu tengah melonjak naik ke apa, kalau mereka merogol, dia tetap akan kena sebab negara kita ada undang-undang.

“Perkara itu tidak boleh dijadikan alasan (untuk mereka merogol),” katanya.

Terdahulu, Rosyam meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berasakan perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.

Sementara itu, penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice yang memberikan komen sama berkata, sebagai orang Islam, tidak sepatutnya cadangan mewujudkan pusat pelacuran itu diketengahkan.

“Tak kiralah isteri dia (warga asing) dekat Nepal, Bangladesh, Myanmar, kalau nak lepaskan juga ‘benda’ itu (nafsu seks) sebab isteri jauh, ada caranya yang tak perlu terlibat dengan orang lain (pelacuran).

“Nanti balik kampung masing-masing, kalau dijangkiti HIV, lagi masalah besar,” katanya. – 8 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related