KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibunuh kejam dan ditemui dalam longkang tepi jalan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, akhir bulan lalu bukan Mira Sharmila, 32, atau Bella.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dibuat ke atas mayat terbabit bukan Bella yang dilaporkan hilang di Batu Pahat, Johor pada 14 Disember lalu.
Menurutnya, perbandingan sampel DNA bersangkut laporan kes Bella di Batu Pahat dan Gemencheh, Negeri Sembilan yang dijalankan menerusi ahli keluarganya didapati tidak sepadan.
“Malah spesimen DNA tersebut juga turut dihantar ke Bahagian D13 (Data Bank/ DNA), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman untuk dibuat semakan dengan kes lain yang dilaporkan sebelum ini.
“Polis juga masih meneruskan siasatan bagi mengesan identiti si mati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut dipohon untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-5562222.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita dibunuh kejam apabila mayatnya dalam keadaan tidak sempurna ditemui dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badannya iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan berkenaan. – 8 Januari, 2024