SD bukan penentu, biar Dewan Rakyat putuskan jika Perdana Menteri sudah hilang majoriti

Menurut Hassan Abdul Karim, semua pihak perlu merujuk Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan

1:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan menjatuhkan kerajaan bukan tertakluk kepada jumlah akuan bersumpah (SD) yang diperolehi tetapi diputuskan berdasarkan sokongan majoriti diraih Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, untuk menentukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan majoriti, perkara itu haruslah diputuskan dengan merujuk kepada Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perkara 43(4) menyatakan bahawa Perdana Menteri hendaklah mengemukakan peletakan jawatan sekiranya beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Semua pihak perlu merujuk Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan. Sama ada Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan majoriti sebagai PM, hendaklah diputuskan di Parlimen dan Dewan Rakyat.

“Sama ada Perdana Menteri mempunyai majoriti sokongan atau tidak, bukannya melalui cara SD tetapi melalui usul undi percaya atau undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah SD yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Sanusi bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci mengenai perkara berkenaan termasuk jumlah SD yang diperolehi.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, penggunaan SD yang sebelum ini berlaku di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah dua keadaan berlainan iaitu bagi menentukan sama ada Perdana Menteri pada ketika itu sudah hilang sokongan di Parlimen.

Merujuk kejadian pertama ketika Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, Hassan berkata, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan SD untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dalam keadaan itu, Agong bersetuju dan berpuas hati bahawa Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan yang mencukupi pada hemat Baginda sesuai dengan Perkara 43 (2) (a).

“Tetapi pada kejadian kedua, malam sebaik sahaja selepas keputusan PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) pada 19 November 2022, Muhyiddin bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang cuba menggunakan SD untuk menghadap Agong bagi membuktikan Muhyiddin selaku Pengerusi PN mempunyai cukup majoriti.

“Tetapi kali ini Agong tidak memperkenan untuk melantik Muhyiddin menjadi Perdana Menteri berdasarkan sokongan SD. Sebaliknya, Agong menasihatkan Muhyiddin dan Hadi untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH (Pakatan Harapan) pimpinan Anwar,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan ketegasan Agong yang enggan mengguna pakai kaedah SD, sebaliknya mahu perkara itu ditentukan menerusi usul undi percaya (vote of confidence) di Dewan Rakyat yang membuktikan Anwar memenangi usul berkenaan sehingga terbentuk Kerajaan Perpaduan. – 8 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related