KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) memberi pihak pentadbiran universiti berkenaan tempoh 24 jam bermula hari ini untuk menjawab aduan pelajar mengenai harga makanan yang mahal dan makanan tercemar di kafeteria kolej kediamannya.
Melabelkan pihak pentadbiran unversiti terbabit sebagai ‘lubuk kronisme terbesar di Malaysia’, KMUM berkata, sekiranya tuntutan mereka tidak diendahkan, isu tersebut akan dilaporkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut kenyataan itu, antara tuntutan dikemukakan KMUM ialah supaya universiti terbabit membatalkan keputusan pemilihan vendor kafeteria yang tidak dipersetujui kesatuan serta melibatkan wakil kesatuan dalam setiap mesyuarat pemilihan pada masa hadapan.
Mengenai kenyataan kononnya pihak universiti ‘terlupa’ menjemput KMUM ke mesyuarat pemilihan vendor minggu lepas, kesatuan itu berkata, adalah “tidak logik” untuk mengadakan mesyuarat sedemikian tanpa wakil KMUM, kerana pelajar adalah pemegang taruh terbesar yang akan mengunjungi kafeteria setiap hari.
Kesatuan itu turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan pentadbiran UM yang didakwa membuta tuli dengan aduan mahasiswa mengenai servis kafeteria yang tidak memuaskan.
“Sejak kebelakangan ini, KMUM menerima banyak aduan daripada pelajar berhubung perkhidmatan tidak memuaskan yang diberikan oleh kafeteria kolej kediaman. Antara aduan ini ialah kes keracunan makanan, premis tidak bersih, kualiti makanan basi dan tidak memuaskan, harga makanan mahal, caj tidak konsisten dan sebagainya.
“Lebih teruk, beberapa peniaga kafe memberitahu presiden KMUM serta ahli kabinetnya berhubung dakwaan banyak permohonan daripada peniaga lain untuk membuka perniagaan di UM telah ditolak secara tidak munasabah.
“Sebaliknya, pentadbiran UM memilih untuk melanjutkan kontrak peniaga lain, selama beberapa dekad, walaupun peniaga terbabit berulang kali menyebabkan kes keracunan makanan,” katanya.
Selain itu, KMUM mendakwa kakitangan operasi dan perkhidmatan di kafeteria tersebut “dimonopoli oleh warga asing sahaja” sehingga menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pelajar.
“Penyewaan lesen kepada warga asing dalam bidang perniagaan, ataupun Skim Ali Baba, menyalahi Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 di mana Seksyen 5 jelas mengatakan bahawa tiada lesen yang boleh dikeluarkan kepada mana-mana bukan warganegara Malaysia,” katanya.
Meskipun “ramai” pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital kerana keracunan makanan, kesatuan itu berkata, bagaimanapun Kafe Kolej Kediaman Ketiga (Sepakat Barakah) dianggap “diselenggara dengan baik,” dengan 461 pelajar membuat petisyen supaya pengusaha kafe itu dikekalkan. – 7 Januari 2024
[UNIVERSITY MALAYA — LARGEST NEST OF CRONYISM IN MALAYSIA]
— Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (@kmum1905) January 7, 2024
Lately, UMSU has received numerous complaints from students regarding the unsatisfactory services provided by the residential college cafeterias. pic.twitter.com/0JDbC0CDrn