KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat di Brunei ketika ini sudah tentu teruja untuk mengikuti Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Putera ‘Abdul Mateen dengan Dayang Anisha Rosnah Adam yang membuka tirainya melalui Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, hari ini.
Menurut laporan Pelita Brunei, Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dan seterusnya Majlis Istiadat Perarakan di sekeliling Bandar Seri Begawan dijadual berlangsung pada 14 Januari ini.
Ia merupakan acara kemuncak yang penuh gemilang lagi penuh beristiadat yang bakal menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat yang hadir.
Putera ‘Abdul Mateen atau Putera Mateen merupakan putera Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.
Portal Berita RTB Brunei pula melaporkan, bakal isteri kepada Putera Mateen merupakan cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.
Terdahulu dalam tinjauan Pelita Brunei di Bandar Seri Begawan, seorang pengendali perahu tambang, Awang Abdul Ghani Abdullah, 54, berkata, pihaknya telah menerima beberapa tempahan pada 14 Januari ini untuk membawa penumpang dari beberapa lokasi antaranya jeti Kiulap dan jeti Riverside.
Katanya, ia adalah antara persiapan awal penumpang agar tidak menunggu lama kerana sepanjang perarakan itu nanti, terdapat beberapa jalan akan ditutup dan penumpang bertindak pantas memikirkan penyelesaian dengan menempah perahu tambang lebih awal.
Dengan Bandar Seri Begawan menjadi tumpuan rakyat jelata bagi acara tersebut, Awang Abdul Ghani dalam pada itu menasihatkan agar seluruh pengenadi perahu tambang agar berhati-hati ketika membawa penumpang ke destinasi yang dituju iaitu tidak membawa lebih muatan penumpang, penumpang memakai jaket keselamatan dan bertolak ansur sesama sendiri.
Awang Abdul Ghani seterusnya menambah, demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, pengendali perahu tambang juga diingatkan supaya mengurangkan had laju semasa beroperasi memberikan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai.
Pada Oktober lalu, Yang Dipertua Adat Istiadat Negara memaklumkan Sultan Brunei akan mengadakan Istiadat Perkahwinan bagi Putera Mateen dan Dayang Anisha.
Majlis-majlis bagi Istiadat Perkahwinan Diraja akan dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari diikuti dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga, yang akan diadakan esok.
Sementara itu, Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja serta Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja akan diadakan pada 9 Januari.
Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja akan diadakan pada Rabu diikuti Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja, Khamis ini.
Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dan seterusnya Pengantin Diraja diarak sekeliling Bandar Seri Begawan akan diadakan pada 14 Januari.
Majlis Persantapan Diraja pula pada 15 Januari manakala Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga akan diadakan keesokan harinya. – 7 Januari, 2024