KUALA LUMPUR – Identiti mayat yang ditemui tanpa kepala di Pantai Rantau Abang, Dungun petang semalam, masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaannya sudah mereput.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, bagaimanapun pihaknya percaya mayat terbabit adalah lelaki, namun usia mangsa belum dapat dikenal pasti.
“Pihak polis percaya mayat terbabit dihanyutkan arus sebelum dipukul ombak naik ke daratan,” katanya.
Maizura berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil menghubungi pihak polis.
Pada masa sama, beliau berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih satu atau dua minggu berdasarkan keadaan mayatnya.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pengunjung kawasan rekreasi berkenaan gempar dengan penemuan mayat reput tanpa kepala yang terdampar di tepi pantai pada kira-kira jam 5.15 petang.
Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan itu. – 7 Januari, 2024