KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) menghalang laluan ambulans yang dalam kecemasan membawa pesakit ke hospital membawa padah apabila dikenakan tindakan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59.
Ia kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans susulan video tular di media sosial mengenai kejadian pada jam 3 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, ketika kejadian, ambulans itu dalam perjalanan membawa pesakit ke Hospital Sri Aman, Sarawak di Kilometer 6, Jalan Sri Aman/Kuching.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Sri Aman telah mengambil tindakan mengesan pemandu kenderaan tersebut.
“Pemandu Perodua Kembara itu diambil tindakan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau kemudiannya meminta semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya.
“Pemandu hendaklah apabila diberi amaran tentang kehadiran apa-apa ambulans, kereta bomba, kenderaan polis memberi laluan yang lapang kepada kenderaan terbabit,” katanya.
Terdahulu seorang pengguna Facebook menularkan video berdurasi 53 saat itu yang memperlihat pemandu berkenaan enggan mengubah laluan biarpun siren ambulans dibunyikan.
Tulisnya: “Kami harus segera membawa pesakit sampai ke Hospital Sri Aman ll dan dua orang petugas kesihatan di dalam ambulas sedang berterusan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa.
“Harap orang ramai lebih peka dan memberi kerjasama jika ambulans membunyikan siren di jalan raya. Mana kamu tahu yang kami bawa di dalamnya ini mungkin saudara kamu, buang sikit bongkak itu”. – 6 Januari, 2024
caption:
Seorang pemandu Perodua Kembara dikenakan tindakan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 kerana tidak memberi laluan kepada ambulans di Kilometer 6, Jalan Sri Aman/Kuching. – Ihsan PDRM