Jualan Termurah akan diperluas, ‘bukan bersaing dengan pasar raya, tapi bantu rakyat’: Fahmi

Katanya, melalui program seperti ini, boleh dilihat kos rantaian bekalan dapat dikawal bagi memastikan manfaatnya dinikmati rakyat

1:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Program Jualan Termurah yang menawarkan harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah dari nilai pasaran, bukan untuk bersaing dengan pasar raya.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan jualan barangan keperluan basah dan kering pada harga rahmah.

“Program ini diadakan bukan untuk bertanding dengan pasar raya, tetapi ia lebih kepada untuk membantu (rakyat) secara berkala.

“Melalui program seperti ini juga, kita boleh lihat kos rantaian bekalan dapat dikawal bagi memastikan manfaatnya dinikmati rakyat.

“Jadi apa kita adakan hari ini ialah percubaan (test drive) dan pembuktian konsep yang saya akan panjangkan serta cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya dalam mengawal kos harga barang dan membantu kurangkan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Jualan Termurah: Berkhidmat Untuk Rakyat anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hari ini.

Program Jualan Termurah membolehkan orang ramai membeli barang keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding di sebahagian pasar raya. – Azim Rahman/Scoop, 6 Januari, 2024

Fahmi berkata, program jualan murah itu akan diperluaskan di kawasan Parlimen lain, agar ia sama-sama dinikmati semua, terutama golongan kurang berkemampuan.

Walaupun tidak kerap diadakan, Fahmi mengharapkan agar program jualan murah itu akan dapat diadakan pada waktu strategik, lebih-lebih lagi ketika di tengah atau hujung bulan, sebelum menunggu gaji masuk.

“Sebenarnya program ini diusahakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sejak beberapa tahun lalu di kawasannya, saya tertarik dengan konsepnya yang menawarkan barang keperluan harian dan segar pada harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah.

“Harga dijual adalah harga paling rahmah (murah) saya lihat, ikan dijual pada harga sangat murah dan begitu juga barangan keperluan lain.

“Mungkin kita boleh usahakan ia (jualan murah) diadakan di tengah bulan atau waktu ramai yang menunggu gaji. Program sebegini banyak mendatangkan kebaikan kepada komuniti,” katanya.

Program bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi itu, menerima sambutan cukup menggalakkan daripada penduduk sekitar Lembah Pantai yang memborong barangan seperti ayam, ikan, sotong, udang, beras, sayur, buah-buahan, beras dan gula. – 6 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related