KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan tuduhan tidak berasas pihak tertentu mendakwanya memakan daging babi serta minum dan menyimpan alkohol di pejabatnya.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, kenyataan itu sebagai tindak balas mesej WhatsApp yang disebarkan secara meluas yang menuduhnya melakukan perbuatan terbabit.
“Saya mencabar dan menggesa mereka yang menyimpan agenda tertentu supaya tidak berselindung di sebalik papan kekunci untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah.
“Saya juga beri pihak terbabit tempoh dua minggu untuk tampil bertemu saya bagi menyelesaikan perkara itu dengan cara yang lebih bermaruah.
“Jika mereka tidak menerima tawaran saya, boleh dianggap bahawa mereka takut pembohongan akan terbongkar.
“Sudah tentu saya juga tidak akan menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang terus menyebarkan pembohongan dan fitnah ini,” katanya.
King Sing secara sinis turut meminta pihak yang membuat dakwaan mengesyorkan kepadanya restoran Cina di hotel sekitar Putrajaya yang menjual makanan berasaskan daging babi.
“Saya juga pernah ditertawakan kerana makan makanan yang hampir sama sepanjang masa. Sama ada makan sendiri atau melayan tetamu, sama ada nasi lemak, nasa beriani, atau KFC sahaja.
“Hanya apabila kami menerima tetamu asing seperti dari China, kami akan memesan makanan dari restoran Cina di hotel sekitar Putrajaya.
“Makanan restoran Cina hotel manakah yang menyajikan hidangan daging babi? Jika penuduh tahu yang mana, kami dengan senang hati ingin mereka mengesyorkan kepada kami,” katanya.
Jelas beliau, bagi penyimpanan arak di pejabat pula, ia hanya berdasarkan hadiah yang diterima daripada tetamu luar negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan budaya.
“Atas kesopanan, saya menerima tetapi hadiah ini tidak bermaksud barang peribadi saya sendiri.
“Sebagai wakil pejabat awam, saya tidak boleh menolak hadiah ini tetapi pada masa yang sama, adalah sangat tidak wajar untuk saya membawa pulang sebagai milik saya jika hadiah itu disampaikan dalam acara atau kapasiti rasmi.
“Seboleh-bolehnya, kami cuba sedaya upaya untuk memindahkan hadiah tersebut kepada penerima lain seperti pegawai asing atau tetamu semasa makan malam atau acara santai. Apa yang salah dengan semua ini?” soalnya. – 5 Januari, 2024