Isu Bezza: Peguam perjelas hak pembeli, Perodua, ‘proses penyelesaiannya rumit, terikat perjanjian’

Ia kerana terdapat tiga perjanjian, masing-masing antara pembeli dengan Perodua, pembeli dengan bank dan pembeli dengan syarikat insurans kereta

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kemelut dihadapi pembeli Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam dengan syarikat pengeluar kereta berkenaan, susulan kenderaan milikinya itu rosak selepas lapan jam diambil dari pusat jualan, akan mengambil masa dan melalui proses rumit untuk diselesaikan.

Peguam, Asiah Abd Jalil berkata, ia kerana terdapat tiga perjanjian yang wujud dalam pembelian kereta wanita terbabit, iaitu perjanjian di antara pembeli dengan Perodua, perjanjian di antara pembeli dengan bank dan perjanjian di antara pembeli dengan syarikat insurans kereta.

Katanya, semua perjanjian itu membabitkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang spesifik tertera pada setiap kenderaan, termasuk Perodua Bezza dibeli Nagakanni.

“Disebabkan itu, ia tidak semudah Perodua perlu mengganti kereta baharu, pinjaman bank untuk kereta ‘bergula’ itu ditamatkan, kereta baharu didaftarkan hak milik kepada Nagakanni dan kereta itu dilupuskan.

“Sekiranya Perodua mendapati bahawa kereta yang bergula itu rosak secara major, syarikat insurans akan terlibat untuk membuat penilaian. Jika syarikat insurans mendapati kerosakan tersebut adalah beyond economic repair (melangkaui kos baik pulih), syarikat insurans akan mengisytiharkan kereta tersebut sebagai total loss (kerosakan penuh).

“Syarikat insurans akan membayar keseluruhan baki pinjaman kepada pihak bank untuk kereta bergula tersebut. Bagi kereta baharu yang diganti Perodua, Nagakanni perlu mulakan semula semua proses dari awal. Mohon loan (pinjaman) baharu, tandatangan perjanjian baharu, daftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya, semuanya di bawah nombor casis dan nombor enjin baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai situasi kedudukan sebenar isu dialami Nagakanni dari segi undang-undang, iaitu hak dan tanggungkawab pembeli, Perodua serta bank.

Menurutnya, situasi penyelesaian itu perlu dilihat daripada lima aspek, iaitu ascertainment (penentuan), hire and purchase (sewa dan beli), merchantable quality (kualiti dagangan), warranty and guarantee (jaminan dan kepastian) serta transfer of risk (pemindahan risiko).

Asiah berkata, dari aspek ascertainment, jual beli kereta dikawal selia undang-undang kontrak dan Sale of Goods Act, justeru individu kena membaca perjanjian dan sekiranya ada bahagian yang samar-samar, mereka perlu merujuk akta.

“Apabila perjanjian jual beli ditandatangani Perodua dengan pembeli, kemudiannya kereta dengan nombor casis dan nombor enjin didaftarkan kepada JPJ di bawah nama pembeli, proses ascertainment berlaku.

“Ascertainment menyebabkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang unik tersebut, kini berpindah hak kepada pembeli secara sepenuhnya. Ascertainment menyebabkan pembeli dah tak boleh tukar dah kereta yang sudah dimuktamadkan,” katanya.

Ujarnya, hire and purchase pula bermaksud biasanya pembeli akan membayar deposit 10 peratus daripada harga kenderaan dan bakinya, 90 peratus dibuat melalui pinjaman bank.

“Pembeli akan menandatangani perjanjian sewa beli dengan pihak bank. Pihak bank akan membayarkan baki harga kereta tersebut kepada Perodua. Kemudian pihak bank akan menyewakannya kepada pembeli. Setiap bulan pembeli akan buat bayaran ansuran kepada pihak bank. Seolah-olah pembeli sedang menyewa kereta tersebut daripada pihak bank.

“Kelak jika pembeli selesai membuat bayaran penuh pinjaman kepada bank, kereta tersebut dianggap sudah selesai dibeli. Pihak bank akan melepaskan ikatan dengan kereta tersebut,” katanya.

Manakala, merchantable quality adalah aspek apabila pembeli membeli kereta baharu, undang-undang menetapkan bahawa kereta berkenaan mestilah mempunyai merchantable quality sebagaimana kereta yang baru keluar dari kilang.

“Kereta baharu tidak sama dengan kereta second hand (kereta terpakai). Kereta baharu mestilah tiada defects (kerosakan) dan tiada problem (masalah).

“Pengguna berhak untuk expect (jangka) bahawa kereta baharu mestilah sama kualiti dengan kereta baharu yang lain,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Asiah berkata, aspek warranty and guarantee adalah biasanya di dalam setiap perjanjian jual beli membabitkan barang baharu yang bukan barang second hand atau bukan barang yang dijual pada harga diskaun, akan ada warranty and guarantee mengenai kerosakan produk.

“Warranty atau guarantee biasanya mempunyai had masa atau had tertentu. Contohnya, jaminan terhadap kereta dalam tempoh enam bulan selepas dibeli atau 5,000 kilometer (km), dengan yang mana lebih dahulu.

“Kerosakan boleh timbul semasa design (rekaan), manufacturing (pembuatan) atau marketing (pemasaran).

Jelasnya, sama ada kerosakan itu disengajakan atau tidak dan diketahui atau tidak, penjual mesti menanggung liabiliti serta menggantikan barang yang rosak terbabit.

Aspek transfer of risk wujud apabila semasa penjual menyerahkan kereta secara fizikal, pembeli perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan tiada kerosakan.

“Sebaik sahaja penyerahan fizikal selesai, risiko terhadap kereta tersebut kini berpindah kepada pembeli. Perodua sebagai penjual sudah selesai tanggungjawabnya (kecuali tanggungjawab warranty dan guarantee).

Menerusi perkongsiannya, Asiah turut memberi dua contoh situasi berdasarkan penerangan diberikannya.

“Contoh situasi 1, setelah lapan jam mengambil kereta, kereta tersebut dicuri penjenayah. Kerugian ini perlu ditanggung pembeli, bukan Perodua kerana risiko sudah berpindah kepada pembeli selepas penyerahan fizikal.

“Contoh situasi 2, selepas lapan jam mengambil kereta, enjin kereta terbabit tidak dapat dihidupkan dan didapati enjin sudah rosak kerana ada gula dalam enjin. Kereta terbabit masih dalam warranty atau guarantee. Perodua wajib membaiki kereta tanpa sebarang kos,” katanya.

Justeru, dalam kes Nagakanni, beliau berkata, keberadaan gula dalam enjin secara jelas bukan kesalahan pembeli itu dan ia adalah kerosakan produk yang mustahil boleh diketahuinya semasa kereta diserahkan.

Sekiranya Perodua mendapati kerosakan enjin adalah major, katanya, maka kereta terbabit tidak mempunyai merchantable quality.

Keadaan itu, tegasnya, mewajibkan Perodua untuk mengganti kereta baharu kepada Nagakanni.

“Namun ada beberapa isu yang perlu diselesaikan. Rujuk tulisan saya berkenaan ascertainment dan hire and purchase,” katanya.

Terdahulu, menerusi media sosial, Nagakanni meluahkan kekecewaan apabila Perodua Bezza diambilnya dari pusat jualan, rosak hanya selepas lapan jam dibawa pulang ke rumah.

Berkongsi kisah sedih terbabit, Nagakanni berkata, lebih menyedihkannya, apabila dia terpaksa membayar ansuran berjumlah RM537 untuk kereta dibelinya pada Oktober tahun lalu itu, walaupun kenderaan terbabit masih ‘tersadai’ di pusat servis.

Malah, dia berkata, meskipun kes itu sudah berlarutan lebih dua bulan, ia belum diselesaikan pihak berkenaan dan sehingga kini masih tiada jawapan jelas mengenai kemelut dihadapinya.

Luahnya, dia mengambil kereta itu di sebuah pusat jualan pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 11 pagi, tetapi lapan jam kemudian iaitu 7.40 malam ketika mahu menghidupkan kenderaan terbabit, ia gagal dihidupkan, sekali gus menyebabkan keesokannya ia terpaksa ditunda ke pusat servis dan mekanik di situ memaklumkan enjin kenderaannya sudah rosak.

Semalam, Perodua menerusi penjelasannya memaklumkan, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah berhubung isu ‘kereta rosak’ dibangkitkan pelanggannya itu, termasuk menawarkan untuk membeli balik kenderaan berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Roman Jaafar berkata, syarikat itu menafikan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan. – 5 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related