Najib belanja lebih RM1 juta di Trump International Hotel di Washington?

Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan dan bertemu Presiden AS, Donald Trump di White House di tengah-tengah tekanan susulan skandal kewangan 1MDB

5:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembayar cukai di negara ini secara tidak sengaja telah menyalurkan AS$248,962 (RM1.157 juta) kepada Trump International Hotel di Washington DC, ketika dua lawatan berasingan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak serta pegawai kanan kedutaan pada September 2017.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengawasan dan Akauntabiliti Dewan AS, Najib dan delegasinya telah menggunakan ‘bil langsung’ sebanyak AS$247,352 sepanjang menetap di hotel milik Trump pada 7 hingga 15 September 2017.

Najib mengadakan lawatan dan bertemu Presiden AS, Donald Trump di White House pada 12 September. Ia di tengah-tengah tekanan susulan dakwaan peranannya dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bilik suite presidennya berharga AS$10,000 semalam, berjumlah AS$44,562 (termasuk cukai) untuk tiga malam dan empat hari.

Bekas Perdana Menteri itu menghabiskan AS$750 untuk ‘mengatur semula perabot (dressing room)’, AS$1,500 untuk pelatih peribadi, perkhidmatan ‘butler’ ketika makan dan minum di dalam kamar.

“Perbelajaan mewah delegasi Malaysia itu pada pertengahan September 2017 di Trump International Hotel telah menyebabkan lonjakan 70 peratus dalam purata pendapatan bilik – peningkatan kepada AS$97,193 sepanjang malam dari 7-14 September atau malam-malam lain pada September 2017.

“Kemudian pada 27 September, delegasi Kedutaan Malaysia kembali ke hotel dan menyewa tambahan empat bilik pada harga AS$1,610.527,” lapor laporan tersebut.

Bilik suite presiden Trump International Hotel di Washington DC yang berharga AS$10,000 semalam. Hotel ini telah bertukar hak milik dan kini bernama Waldorf Astoria Washington DC – Gambar Uniq Hotel, 5 Januari, 2024

Penginapan delegasi Malaysia pada pertengahan September sebanyak AS$9,272 yang dibelanjakan untuk bilik menempatkan Perkhidmatan Rahsia AS bagi langkah keselamatan delegasi.

Bilik-bilik itu termasuk bilik yang ditempah pada harga AS$650 semalam, lebih dua kali ganda kadar penginapan AS$231 per diem (elaun harian untuk perbelanjaan) kerajaan untuk Washington DC.

Najib menjadi Perdana Menteri pertama melawat White House sejak 2004.

Pada masa kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu, Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah menyiasat skandal 1MDB selama lebih setahun. Pemimpin terbabit juga mengelak untuk bercakap mengenai siasatan DOJ ketika sidang media.

DOJ mendakwa Najib dan sekutunya dikaitkan dengan dana itu telah ‘menyedut’ lebih AS$3.5 bilion secara haram daripada 1MDB tidak lama selepas ia diwujudkan pada 2009, sejurus selepas beliau memegang jawatan di Putrajaya.

DOJ kemudiannya mendapati lebih daripada AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB, yang dicuci melalui ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dan institusi kewangan seluruh dunia, kebanyakannya berada di AS.

Sementara itu laporan jawatankuasa penyeliaan menyebut Malaysia membayar kepada pengutip dana terkemuka Trump, Elliott Broidy dan rakan sekutunya, Nickie Lum Davis, untuk menginap di Trump International Hotel selama empat malam.

“Secara keseluruhan, Broidy dikenakan bayaran AS$5,345 untuk bilik di hotel itu sepanjang September 2017.

“Davis yang bekerja dengannya bagi pihak Malaysia juga menginap di hotel itu dan dikenakan bayaran AS$1,155,” menurut laporan itu.

DOJ kemudiannya mengumumkan bahawa pengakuan bersalah Broidy memperincikan usahanya untuk memujuk pentadbiran Trump bagi menamatkan siasatan 1MDB terhadapnya.

Broidy telah, antara lain menyediakan ’talking point’ kepada Setiausaha Negara merujuk kepada siasatan 1MDB sebelum mesyuarat antara Setiausaha Negara dan Perdana Menteri Malaysia pada Ogos 2017.

Pada Ogos 2020, Lum Davis mengaku bersalah atas peranannya melakukan cubaan melobi untuk mempengaruhi pentadbiran Trump menggugurkan siasatan terhadap 1MDB.

Sehingga Ogos 2021, DOJ telah menyerahkan semula lebih AS$1.2 bilion kepada Malaysia.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana sabitan atas pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Laporan jawatankuasa itu menetapkan bahawa semasa Trump memegang jawatan, beliau menerima sekurang-kurangnya AS$7.8 juta daripada 20 kerajaan, termasuk China, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, dan Malaysia, melalui perniagaannya.

Berdasarkan rekod untuk hanya dua tahun menjadi Presiden, melibatkan empat daripada lebih 500 perniagaannya, mungkin merupakan sebahagian kecil daripada bayaran yang diterima Trump. Ini dianggap melanggar Klausa Emolumen Asing Perlembagaan AS. – 5 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related