KUALA LUMPUR – Jenazah wartawan hiburan, Fiza Kamarudin, 40, akan diterbangkan dari London menuju ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan MH0003, hari ini.
Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi esok.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Baru sejurus selesai urusan di KLIA dan solat jenazah.
“Jenazah kemudian akan dikebumikan di Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kl-Karak,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Pada masa sama, beliau turut memohon orang ramai agar mendoakan urusan membawa balik jenazah Allahyarhamah dipermudahkan.
“Sama-sama kita doakan semoga urusan dipermudahkan. Semoga orang ramai dapat menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Fiza yang sebelum ini dilaporkan berada dalam kritikal disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, United Kingdom (UK).
Suaminya, Mohd Roshdi Ramli memaklumkan Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 petang waktu tempatan atau 11.30 malam waktu Malaysia, 28 Disember lalu.
Menurut Mohd Roshdi, isterinya menghidap penyakit kanser payudara yang menyerang semula selepas enam tahun bebas daripada penyakit itu.
Fiza sebelum itu dirawat di Hospital Charing Cross selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.
Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London dan berlepas bersama Mohd Roshdi dan dua cahaya mata mereka pada pertengahan bulan lalu.
Difahamkan, biarpun keadaan kesihatannya kurang baik, keluarga memilih menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaannya. – 5 Januari, 2024