Rheumatologi: Malaysia jadi negara pertama di Asia, ke-7 di dunia jalankan ujian klinikal pertama pada manusia

FIH membuktikan kemampuan ujian klinikal yang semakin berkembang di Malaysia dalam tempoh dua tahun setelah penyelesaian Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM)

8:17 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Malaysia dipilih menjadi negara peneraju di Asia menjalankan ujian klinikal pertama terhadap manusia atau First In Human (FIH) bagi penyakit gangguan radang otot (rheumatologi).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Hospital Umum Sarawak (HUS) akan menggendalikan kajian tersebut dengan kerjasama syarikat farmaseutikal global terbesar dunia, Roche Pharmaceuticals.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu pencapaian, Dr Dzulkefly berkata kajian ini akan dikendalikan pakar rheumatologi HUS, Dr Teh Cheng Lay yang secara khusus menyelidik rawatan yang selamat untuk penghidap penyakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE).

“Dengan pengumuman ini, Malaysia menjadi negara ketujuh dalam dunia terlibat dalam penyelidikan ini dan yang pertama di rantau Asia Pasifik,” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Keunggulan Penyelidikan Klinikal dalam Fasa Awal dan Pembangunan Individu antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Roche Pharmaceuticals di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan KKM, Datuk Seri Norazman Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Nor Fariza Ngah.

Dr Dzulkefly berkata FIH membuktikan kemampuan ujian klinikal yang semakin berkembang di Malaysia dalam tempoh dua tahun setelah penyelesaian Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM).

“Ekosistem ujian klinikal Malaysia telah berkembang pesat dengan lebih 2,300 penyelidikan klinikal yang dilakukan sejak 2012.

“CRM melalui inisiatif P1RP telah mengawasi perkembangan ekosistem fasa awal negara ini, untuk membolehkan penyelidikan fasa awal yang selamat dan teratur terutama ujian FIH.

“Selepas penyelesaian P1RP pada tahun 2021, Malaysia telah menjalankan satu ujian FIH dan dua kajian pertama pada pesakit, dengan kajian Roche menjadi ujian FIH pertama di Malaysia di bawah penyakit rheumatologi,” katanya.

Ujian FIH melibatkan ubat eksperimental baru untuk merawat penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), yang memberi kesan kepada sendi, kulit, otak, paru-paru, buah pinggang, dan saluran darah. – 4 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

EPF 2024 dividend rate in 6%-6.2% range expected: analyst

Fund had diversified investments amidst a resilient global economy and other favourable conditions last year, may face a challenging 2025 due to global political and economic uncertainties

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related