Lebih 12 jam di atas jalan tidak jamin pendapatan mencukupi, demikian pandangan sebahagian penghantar makanan

Foodpanda telah dihubungi dan dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Waktu kerja yang panjang dan pendapatan yang tidak terjamin menjadi halangan kepada penghantar makanan kebelakangan ini dengan sebahagiannya mempertimbangkan untuk bertukar kepada platform lain atau – mencari kerja baharu.

Struktur bayaran di mana prestasi dinilai dari tahap satu ke enam, telah mengecewakan penunggang Foodpanda, yang mendapati mereka sukar untuk mendapat gaji yang sewajarnya.

Bercakap kepada Scoop, Mohd Khairul Affendy nyata tidak gembira dengan kadar bayaran rendah yang tidak selari dengan jarak yang perlu dilaluinya untuk menghantar makanan kepada pelanggan.

Sebahagian penghantar makanan mula memilih dengan syif mereka kerana bayaran yang rendah walau sudah melalui banyak tempat untuk menghantar pesanan. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 4 Januari, 2024

“Ia mengecewakan kerana saya mendapat bayaran yang rendah meskipun terpaksa melalui banyak tempat untuk menghantar makanan. Saya rasa ia tidak adil kerana saya berkerja pada waktu yang sama dengan mereka yang berada di tahap paling tinggi, tetapi saya mendapat bayaran rendah.

“Saya bekerja lebih 10 jam sehari, dan lebih tertekan apabila kena marah dengan pelanggan disebabkan lambat, yang berpunca daripada vendor. Disebabkan gaji rendah, saya terpaksa melakukan kerja lain seperti membuat penghantaran untuk Lalamove, bagi menyara keluarga.

“Sejak itu, saya mula memilih dengan syif saya di Foodpanda. Saya juga mula tolak order jika ia tidak sesuai dengan bayaran saya kerana ia membuang masa dan tenaga untuk bergerak jauh, tapi bayaran sedikit.”

Pendapatan mingguan untuk penunggang Foodpanda adalah berbeza-beza mengikut tahap: RM7 untuk satu order bagi kumpulan satu, RM6 untuk kumpulan dua, RM5 untuk kumpulan tiga dan RM4.50 untuk kumpulan empat, lima dan enam.

Penghantar makanan dalam kumpulan satu menikmati pendapatan mingguan paling tinggi, iaitu RM600 selepas 30 jam, diikuti dengan penunggang kumpulan dua dengan RM500, kumpulan ketiga pula bawah RM400 dan kumpulan empat, lima serta enam memperoleh pendapatan mingguan maksimum RM396.

Tahun lepas, penunggang Foodpanda telah mengadakan mogok 24 jam “Food Delivery Blackout” bagi membantah skala pembayaran yang tidak adil selain mendesak aspek perlindungan dan keselamatan yang lebih baik.

Shah Rizal Rahman berharap kadar bayaran kepada penghantar makanan dapat diperbaiki. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 4 Januari, 2024

Bagi Shah Rizal Rahman pula, penghantar makanan menerima bayaran yang lebih baik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana penyelenggaraan motorsikalnya telah terjaga.

“Dulu tidak timbul isu seperti ini kerana kami dibayar berdasarkan kepada jarak dan tempahan.

“Sekarang kami perlu menguruskan kos penyelenggaraan motosikal sendiri, boleh mencecah sehingga RM100-RM200 setiap dua minggu. Saya kerja lebih 12 jam sehari dan saya menunggang dengan pantas untuk memastikan pelanggan mendapat tempahan mereka tepat pada masanya.

“Ini supaya saya tidak mendapat penalti. Saya merisikokan nyawa untuk menghantar tempahan, dan saya bergantung pada insurans peribadi sendiri.

“Saya dengar Foodpanda akan dibeli oleh syarikat lain, dan saya berharap berlaku perubahan, terutama dari aspek bayaran dan keselamatan penunggang,’’ tambahnya.

Muhammad Hafiz berpendapat, Foodpanda perlu memperkenalkan pendapatan tetap kepada semua penunggang dan kumpulan bagi mengelakkan rasa cemburu dan tidak berpecah belah. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 4 Januari, 2024

Selain bayaran, Muhammad Hafiz berkata jumlah penunggang yang semakin ramai dalam Foodpanda juga telah menjadikan ia lebih kompetitf.

“Tiga tahun lalu, tidak ramai penunggang. Ia menjadi kelangsungan hidup, kerana kami memerlukan waktu kerja yang panjang bagi mendapatkan bayaran yang hampir sama kami dapat beberapa tahun lalu.

“Ketika ini saya berada dalam kumpulan tiga dan saya perlu bekerja sehingga 60 jam seminggu untuk sampai ke kumpulan satu.

“Saya rasa Foodpanda perlu memperkenalkan pendapatan tetap kepada semua penunggang dan kumpulan bagi mengelakkan perasaan cemburu dan tidak berpecah belah.’’

Muhammad Aizat Che Desa kecewa kerana penghantar makanan mendapat penalti meskipun vendor yang lambat menyediakan makanan – Gambar Scoop/ Azim Rahman/4 Januari, 2024

Dalam pada itu, Muhammad Aizat Che Desa meminta supaya sistem aplikasi Foodpanda ditambahbaik di mana penghantar makanan seperti dirinya dapat berkomunikasi secara terus dengan pusat perkhidmatan pelanggan bagi melindungi mereka daripada penilaian yang tidak adil.

“Kadang-kadang pelanggan tidak tahu bahawa vendor yang salah kerana melambatkan makanan mereka, dan mereka menyalahkan penghantar makanan dengan membuat aduan kepada khidmat pelanggan.

“Disebabkan itu, kami terpaksa berdepan dengan penalti disebabkan aduan pelanggan, di mana kebanyakan masa bukan disebabkan salah kami. Kami mahu syarikat mendengar dan melindungi kami.’’

Sejak Januari 2023, menurut Akta Pekerja, waktu kerja di Malaysia adalah lapan jam dan 45 jam setiap minggu.

Muhammad Aizat Che Desa berharap sistem aplikasi Foodpanda ditambahbaik sekali gus dapat memperbaiki komunikasi dengan pusat perkhidmatan pelanggan. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 4 Januari, 2024

Sebaliknya, penunggang Grabfood lebih menonjol dan berpuas hati meskipun terdapat sistem penilaian yang ketat.

Bercakap kepada Scoop, Noor Amalina berkongsi pengalaman positif, dengan menekankan kepada pendapatan bulanan yang lebih baik sejak menyertai Grabfood beberapa tahun lalu, berbanding dengan Foodpanda sebelum ini.

“Menjadi penghantar untuk Grab adalah lebih baik. Saya kini mempunyai pendapatan tetap dan lebih baik berbanding pengalaman lalu dengan platform penghantar makanan lain.

“Saya juga mempunyai fleksibiliti untuk memilih syif dan bekerja secara sambilan. Sistem penarafan empat peringkat oleh syarikat memudahkan bayaran, senang untuk difahami.

“Saya tidak lagi rasa bekerja berjam-berjam kerana takut jatuh ke tahap lebih rendah, dan tidak ada had pada waktu kerja saya.’’

Dia menambah satu-satunya kebimbangannya adalah bayaran bagi perjalanan jarak jauh (50 sen tambahan km) terutama ketika hujan lebat.

Seorang lagi penunggang, Mustaffa Kamal turut menyuarakan mengenai pakej komprehensif yang disediakan Grab dan ia memberi motivasi kepadanya untuk melanjutkan waktu kerja.

“Sejak lebih tiga tahun lalu sebagai penghantar makanan Grabfood, faedahnya yang ditawarkan melepasi pekerjaan sebelum ini. Syarikat jaga insurans saya, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

“Insentif tambahan adalah dari segi makanan serta baucer perubatan dan ia menjadi faktor untuk meningkatkan motivasi saya.

“Sistem bayaran tetap membolehkan saya bekerja dengan selesa selama 10 jam sehari, dan mendapat pendapatan bulanan kira-kira RM3,000. Ini adalah peningkatan berbanding jika saya bekerja untuk platform lain.’’

Bagi penghantar makanan Mohd Shafiq Abdullah pula, dia lega dengan faedah yang disediakan oleh Grab, terutama penyelenggaraan motosikal secara percuma.

“Bayaran penghantar makanan sentiasa adil dan saksama. Saya gembira kerana mendapat penyelenggaraan motosikal percuma, memandangkan saya berkerja berjam-jam lamanya.’’

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq Zaki walaupun berpuas hati dengan pendapatan dan faedah syarikat, namun berdepan cabaran untuk mengekalkan ranking dalam sistem Grab.

“Sistem penafaran memberikan kerumitan kepada kami. Ia merupakan cabaran sebenar untuk mengekalkan ranking kami, kerana ia akan memberi kesan kepada faedah yang kami terima.

“Ketika ini saya memegang kedudukan kedua, kehilangannya bermakna saya kehilangan fleksibiliti untuk memilih syif kerja saya, dan ia penting untuk saya. Mengekalkan peratusan pembatalan yang rendah, di bawah 4 % adalah penting.

“Ia mengambil minimum sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memperbaiki kedudukan dari keempat ke kedudukan pertama, yang memerlukan 30 tempahan setiap hari. Keseimbangan ini penting untuk melindungi pendapatan dan kerja saya.’’

Jabatan Perangkaan mendedahkan 98% penghantar makanan berusia 15 ke 30 tahun, dengan hampir separuh daripada mereka hanya mempunyai sijil sekolah menengah. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 4 Januari, 2024

Foodpanda telah dihubungi dan dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.

Februari lalu, Jabatan Perangkaan mendedahkan 98% penghantar makanan berusia 15 ke 30 tahun, dengan hampir separuh daripada mereka hanya mempunyai sijil sekolah menengah.

Ia juga mendapati 74% penghantar makanan menganggap pekerjaan berkenaan sebagai sumber pendapatan utama, dengan 27 % memperoleh pendapatan antara RM1,501 dan RM2,499, manakala 12% mendapat antara RM2,500 dan RM3,170 setiap bulan.

Hanya 72% responden menyumbang kepada Perkeso manakala 22% sumbangan kepada KWSP.
Ia juga mendapati lebih 60% penghantar makanan tidak mempunyai simpanan manakala 55% daripada mereka tidak mempunyai polisi insuran kemalangan dan nyawa. – 4 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related