Padu: Tiada kelemahan dikesan semasa pengendalian pengesahan, isu berbangkit diatasi segera

Sebaik diluncurkan semalam, seramai 233, 782 pengguna sudah mendaftar dalam sistem tersebut

5:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan tiada kelemahan dikesan dalam pengendalian pengesahan semasa Security Posture Assessment (SPA) menggunakan nombor kad pengenalan (MyKad) berkaitan proses pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Menurutnya, beberapa isu berbangkit termasuk nombor MyKad yang digunakan untuk ‘override’ dan mengubah kata laluan berjaya diselesaikan dalam tempoh sejam malam tadi.

Malah katanya, bagi isu ‘Bug/Vulnerability’ (Pepijat/Kelemahan) dalam mengisi maklumat, pengemaskinian boleh dilaksanakan sejurus log daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

“e-KYC hanya dilaksanakan selepas pengemaskinian maklumat dilaksanakan dan individu ingin membuat pengesahan dan perakuan penghantaran profil.

“Sebarang maklumat yang diisi tanpa eKYC yang disahkan tidak akan diintegrasikan ke dalam Padu. Hanya maklumat yang dikemukakan dari pengguna yang berjaya pengesahan eKYC dikira sah,” katanya menerusi ciapan di platform X, hari ini.

Berhubung pertanyaan sama ada nombor telefon sama boleh digunakan untuk mendaftar berbilang akaun, beliau berkata, nombor telefon sama hanya boleh digunakan sebanyak lima kali.

Katanya, ia bagi memudahkan pendaftaran individu yang juga ahli isi rumah berusia18 tahun ke atas atau ibu bapa yang tidak memiliki telefon untuk membuat pendaftaran akaun Padu.

“Secara umumnya Padu di rekabentuk bagi memusatkan maklumat setiap individu yang bertaraf warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. Bagi tujuan ini, setiap individu yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu mempunyai akaun individu sendiri.

“Seterusnya, bagi tujuan pembentukan isi rumah, individu yang berada di bawah satu isi rumah perlu dimasukkan di bawah satu isi rumah bersama ahli lain termasuklah mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan bukan warganegara,” katanya.

Rafizi berkata, ia bertujuan memastikan maklumat isi rumah terselaras dan hanya ketua isi rumah sahaja dibenarkan membuat pengemaskinian.

“Perakuan bagi ahli isi rumah hanya boleh dibuat apabila ketua isi rumah selesai mengisi maklumat isi rumah masing-masing.

“Setiap individu digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain bagi memudahkan proses perakuan dilakukan dengan mudah,” katanya.

Mengenai medan data kosong selepas proses e-KYC, beliau berkata, e-KYC merupakan proses pengesahan identiti pengguna.

Justeru, katanya, pengguna perlu memastikan setiap maklumat yang dikemaskini disimpan (save) pada setiap variabel.

“Setelah semua maklumat disimpan, pengguna perlu melaksanakan e-KYC bagi melaksanakan perakuan kepada maklumat yang telah dikemaskini,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, sebaik diluncurkan semalam, seramai 233, 782 pengguna sudah mendaftar dalam sistem Padu.

Dari jumlah itu katanya, seramai 118, 115 berjaya menyelesaikan pendaftaran dengan e-KYC.

Padu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, Padu dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

Padu akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.

Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya. – 3 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related