KUALA LUMPUR ā Pemandu lori yang menumbuk seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam video yang tular di media sosial sejak semalam sudah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, Kedah.
JPJ Kedah menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemandu terbabit turut dipenjara sehari dan didenda sebanyak RM4,000 oleh mahkamah.
āPihak terlibat telah ditahan oleh pihak polis dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
āMahkamah telah menjatukan hukuman Penjara sehari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000,ā katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku pada jam 4.04 petang, 22 November lalu di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah.
Katanya, ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugasan rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaanm mencurigakan.
āJPJ Kedah menjalankan satu siasatan awal berkaitan satu video yang tular di laman sosial Facebook, TikTok dan Whatsapp berdurasi satu minit 24 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Nissan Vanette yang enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut.
āKenderaan tersebut kemudiannya berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah dan bertindak menyerang anggota JPJ yang bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat selain mencetuskan provokasi,ā katanya.
Katanya lagi, siasatan juga mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh, Tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan Puspakom Tamat Tempoh.
āKenderaan tersebut diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama.
āKetika ditahan, pihak terlibat melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,ā katanya.
Susulan insiden itu, katanya, laporan polis dibuat oleh anggota bertugas.
āJPJ Kedah ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa mengetahui kesahihannya dan tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang ditetapkan,ā katanya.
Terdahulu, video tersebut tular di media sosial sejak semalam dan dihujani pelbagai komen netizen.
Pada permulaan video, anggota JPJ itu bersama seorang lagi rakan setugasnya dilihat menaiki sebuah kereta sambil mengekori lori berkenaan.
Salah seorang anggota JPJ itu turut menggunakan isyarat tangan dan membunyikan siren bagi meminta pemandu lori tersebut untuk berhenti.
Pelaku kemudian memberhentikan lorinya di sebuah kawasan sebelum dia keluar dan memaki hamun dua petugas itu.
Lebih mengejutkan, dia turut bertindak ganas dengan menumbuk salah seorang anggota JPJ yang mengekorinya. ā 3 Januari, 2024