KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dirombak secara menyeluruh, dijenamakan semula dan dipimpin mereka yang lebih kompeten.
Menurutnya, imej J-Kom semakin merudum selepas isu ‘A & W’ (Agus dan Wahab) dan analisis Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Yusop mengenai komplot Langkah Dubai.
“Analisis Ismail Yusop itu cetek. Ia mengakibatkan kerajaan pula jadi defensif kerana beberapa nama dalam kerajaan disebut.
“Maka amat wajar J-Kom dirombak secara menyeluruh, rebranding total (penjenamaan semula) dan dipimpin mereka yang lebih kompeten,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sabtu lalu, Ismail Yusop mendakwa Langkah Dubai yang didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan dirancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ismail mendakwa, Langkah Dubai berlaku sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Menurutnya ada jurucakap yang ada akses dengan kepemimpinan di sebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk cuba meyakinkan bahawa awal 2024, Kerajaan Madani akan tumbang siap dengan tarikh dan ‘dateline’ sekali.
Sebelum itu, turut tular mesej di beberapa aplikasi media sosial mengenai pertemuan tertutup beberapa ahli Parlimen PN termasuk dua daripada Barisan Nasional (BN) di Dubai.
Gerakan itu didakwa diatur beberapa pemimpin PAS dan Bersatu untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan PBB.
Mesej itu mendakwa jawatan Perdana Menteri turut ditawarkan kepada PBB dan autonomi yang lebih besar selain 20 peratus royalti hasil minyak kepada Sarawak.
Pada masa sama, Puad turut mempertikaikan motif Ismail membangkitkan isu Langkah Dubai.
“Apa keperluan beliau mainkan isu “Langkah Dubai”? Kata Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Openg), cerita Langkah Dubai adalah cerita “Paloi” (bodoh).
“(Adalah) Lebih sesuai J-Kom fokus naratif ‘kerajaan tebuk atap’ yang dianggap satu musibah dan tidak akan tercapai. (Datuk Seri) Ahmad Maslan kata “fatamorgana” (khayalan),” katanya. – 3 Januari, 2024