PUTRAJAYA – Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (Padu) menjamin penyaluran subsidi kepada individu yang layak, sekali gus mengurangkan ketirisan yang mencecah berpuluh bilion ringgit sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sistem dibangunkan sepenuhnya penjawat awam itu juga mampu merapatkan kesenjangan dan meningkatkan kecelikan digital rakyat.
Beliau memaklumkan, apabila disebut penyasaran subsidi, ia tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pendekatan Padu dan transformasi digital.
“Ini kerana belanja oleh kerajaan umumnya, termasuk beberapa perkiraan perbelanjaan dalam semua bidang kementerian untuk membantu rakyat miskin, terutama di desa, pedalaman, nelayan, petani, pekebun kecil dan pekerja bandar itu mencecah sehingga RM22 bilion.
“Dalam semua kajian menyatakan tidak sampai sepenuhnya (subsidi) kepada kumpulan sasar. Subsidi yang diberikan kerajaan diperkirakan dengan nilai ringgit sekarang itu mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia, bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki.
“RM80 bilion itu kalau sampai ke semua rakyat satu hal, tetapi seperti yang kita tahu 3.5 juta bukan warganegara memperoleh manfaat yang tentunya kalau dikumpul semua mencecah RM10 bilion.
“Penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital terutama Padu akan menyebabkan golongan paling kaya dapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Padu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Menteri dan Menteri Besar.
Perdana Menteri berkata, amalan kerajaan Malaysia yang saban tahun tidak pernah berubah dengan memberi subsidi kepada semua rakyat, termasuk 3.5 juta warga asing dan golongan kaya.
“Kerajaan boleh membuat penjimatan hingga RM4 bilion jika subsidi untuk elektrik (penyelarasan tarif elektrik) tidak dinikmati golongan kaya dan warga asing, namun masih ada pihak yang bantah, yang banyah ini hendak pertahankan siapa? Warga asing atau golongan paling kaya?,” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja hendak membangunkan sistem Padu, tetapi juga sistem negara yang lebih canggih dan mampu bersaing.
“Ia memerlukan tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa Padu terlalu banyak ketirisan, terlalu banyak kebocoran dan penipuan.
“Kalau tidak, tidak ada sebab mengapa masih ada kelompok yang dianggap miskin dalam negara kita kalau belanja bantu orang miskin itu RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion. Ada sesuatu yang tidak betul,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini beliau turut meminta Ketua Setiausaha Negara memantau teliti pelaksanaan Padu supaya mencapai matlamat.
Terdahulu, Kementerian Ekonomi menerusi Facebook memaklumkan, sistem Padu akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.
Objektif Padu ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar.
Ia membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data.
Selain itu, sistem berkenaan membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal – 2 Januari, 2024