PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ambil pusing terhadap rancangan segelintir pihak menerusi komplot Langkah Dubai, yang disifatkan tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini ialah menjalankan tanggungjawab dan tugas demi kepentingan rakyat.
“Saya baca dalam media sosial mengenai Langkah Dubai, tapi bagi saya kita tumpukan soal kerja. Itu kerja mereka (pihak tertentu membuat Langkah Dubai), bagi saya tidak memberi kesan.
“Yang penting kita, 2 Januari dah mula lancarkan program penting bagi rakyat. Tumpuan kita bangunkan negara, jaga rakyat,” katanya kepada media selepas melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau bersyukur kerana masih dapat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini biarpun pelbagai cubaan dilakukan pihak tertentu untuk menganggu-gugat Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulillah” jawabnya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom), Datuk Ismail Yusop mendakwa wujud komplot Langkah Dubai didalangi pemimpin parti pembangkang, termasuk beberapa ahli parti politik kerajaan, dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk wakil daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, baru-baru ini.
Pertemuan itu didakwa berlangsung untuk berunding, selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi mengalihkan sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.
Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.
Sementara itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tidak ada Ahli Parlimen dari Umno yang terlibat dalam komplot tersebut.
“Ini satu usaha yang saya fikir mereka (pihak yang terbabit) sendiri gagalkan,” katanya. – 2 Januari, 2024