PUTRAJAYA – Kejayaan dan keberhasilan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (Padu) adalah berdasarkan ketulenan data yang diberikan oleh rakyat.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Padu yang menyaksikan pengintegrasian dan penyatuan data 29.8 juta warganegara menuntut semua rakyat untuk berkongsi data sebenar.
Menurut beliau, pihaknya akan tetap menggunakan data sedia ada dari setiap agensi kerajaan tetapi pada masa sama, rakyat perlu menyemak dan mengemaskini semula data itu.
“Kami mahu rakyat sekali lagi menyemak dan kemaskini data-data utama sebanyak 39 data. Kita mahu perkhidmatan kerajaan ini berpaksikan kepada senario semasa rakyat.
“Ini sebenarnya data rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat dalam bentuk polisi dan bantuan sosial,” katanya ketika sesi pembentangan Padu pada majlis pelancaran Padu di sini, hari ini.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menyemak, mengemaskini dan mengisi maklumat yang sahih, tepat dan terkini.
“39 maklumat perlu disemak dan dikemaskini antaranya maklumat asas membabitkan maklumat peribadi, status orang kurang upaya (OKU) dan maklumat komunikasi.
“Maklumat lain membabitkan alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen, bantuan dan perakuan,” katanya.
Tambah Mohd Uzir, Padu berperanan menjadi rujukan tunggal kerajaan dalam merangka dan melaksanakan dasar atau program bagi kesejahteraan rakyat.
“Antaranya, menambah baik pengurusan bantuan dan subsidi, Padu berpotensi memantapkan pengurusan bencana dan krisis.
“Menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan dan pendidikan, persiapan negara menghadapi penduduk menua, mengatasi kesenjangan perlindungan sosial.
“Pengurusan belanjawan negara yang lebih strategik dan Padu sebagai pemangkin Kerajaan Digital,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Pangkalan Data Utama (Padu), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem Padu akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.
Objektif Padu ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data.
Selain itu, ia membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.
Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.
Pelaksanaan Padu adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.
Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan Padu, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.
Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, Padu yang merupakan pangkalan data berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.
Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan. – 2 Januari, 2024