Sistem Padu ‘one stop centre’ mudahkan pencarian maklumat lengkap penerima bantuan subsidi

Usaha dan inisiatif itu bagaimanapun akan terbantut perjalanannya jika masyarakat tidak memberikan kerjasama

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan dalam memperkenalkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan memudahkan pencarian maklumat lengkap berkaitan golongan memerlukan.

Usaha itu juga bagi memudahkan pelaksanaan sebarang bentuk perancangan bantuan dan subsidi.

Pakar sosial, Profesor Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, sistem Padu akan menjadi satu pusat pengumpulan data (one stop centre) bagi memudahkan mana-mana agensi dan kementerian, mengakses maklumat bakal penerima bantuan tersebut.

Menerusi penggumpulan maklumat itu juga, katanya, pengkelasan kepada beberapa kumpulan kluster akan menjadi mudah dan teratur, memandangkan semua maklumat lengkap mengenai seseorang individu itu sudah berada dalam simpanan Padu.

“Kalau kita lihat negara kita sebelum ini tidak ada satu pusat integrasi yang menyimpan maklumat lengkap mengenai seseorang individu itu. Sebagai contoh, mungkin di kementerian A ada sedikit maklumat, di kementerian B pula ada sedikit info mengenai individu tersebut.

“Namun, dengan pelancaran Padu ini nanti, ia akan lebih memudahkan pencarian maklumat oleh agensi atau mana-mana kementerian berkaitan, bagi melaksanakan sebarang bentuk perancangan dan inisiatif kepada golongan ingin dibantu.

“Menerusi sistem ini juga, ia dapat diberikan pengkelasan mengikut maklumat individu berkenaan, contohnya B40, anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), supaya mudah bagi pihak kerajaan atau agensi berkaitan dalam menyampaikan bantuan dan subsidi kepada mereka,” katanya kepada Scoop.

Rakyat Malaysia tidak perlu risau mengenai kebocoran data, memandangkan Padu tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. – Gambar Kementerian Ekonomi, 2 Januari, 2024

Mohammad Shatar juga menasihatkan rakyat Malaysia agar memberikan sokongan terhadap inisiatif kerajaan dan tidak perlu risau mengenai kebocoran data, memandangkan ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Usaha dan inisiatif diperkenalkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan terbantut perjalanannya sekiranya masyarakat tidak memberikan kerjasama.

“Sistem Padu memudahkan di mana pelbagai perancangan, bantuan serta subsidi yang diusahakan dapat direalisasikan secara cepat, pantas dan berkesan kepada golongan sasar.

“Jadi, saya harap masyarakat dapat beri sokongan penuh dan kepercayaan kepada pihak kerajaan bagi tujuan pelaksanaan sistem ini.

“Tidak akan berlaku kebocoran data kerana ia hanya boleh diakses kepada pihak tertentu sahaja bagi tujuan pengambilan maklumat tersebut,” katanya.

Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan Padu mampu memberikan subsidi dan bantuan secara terus kepada golongan memerlukan tanpa perlu penglibatan orang tengah. – Gambar ihsan Prof Emeritus Barjoyai Bardai, 2 Januari, 2024

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan Padu mampu memberikan subsidi dan bantuan secara terus kepada golongan memerlukan tanpa perlu penglibatan orang tengah yang kadang-kala culas dalam menjalankan amanah mereka.

Memberi contoh, Barjoyai memaklumkan, jika sebelum ini bantuan kewangan atau subsidi bersasar kepada golongan B40 yang diberikan kerajaan akan disampaikan melalui orang tengah seperti ketua kampung atau ahli jawatankuasa kampung, dengan adanya sistem Padu ini ia akan disampaikan terus kepada individu layak.

“Bagi saya sistem Padu ini memang satu inisiatif sangat bagus sebab kadang-kadang menerusi bantuan kewangan sebelum ini yang menggunakan orang tengah, mungkin tidak sampai kepada golongan ingin dibantu itu.

“Maklumat ini juga diperlukan bagi membuat pemilihan mengenai siapa yang layak mendapat subsidi khusus disediakan kerajaan tanpa membabitkan penyelewengan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Barjoyai berkata, kemudahan untuk mengemaskini data itu juga tidak perlu dirisaukan lebih-lebih buat golongan luar bandar kerana ia boleh dilaksanakan menggunakan telefon pintar atau dengan berkunjung ke pejabat agensi berkaitan pengumpulan data berkenaan.

Objektif Padu ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, sekali gus membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan.

Padu diperkenalkan untuk menjadi penyedia pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar. – Gambar Kementerian Ekonomi, 2 Januari, 2024

Sistem itu juga membolehkan penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan Padu adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan Padu, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, Padu yang juga pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat, mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan. – 2 Januari,2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related