Kerugian RM2.29 juta: Kerani, pesara terpedaya phone scam, pelaburan tidak wujud

Mangsa pertama iaitu wanita mendapati wang RM1.08 juta telah dikeluarkan dari akaunnya dan suspek gagal dihubungi

3:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua individu, seorang kerani, manakala seorang lagi pesara syarikat swasta, mengalami kerugian berjumlah RM2,290,713 selepas menjadi mangsa penipuan penyamaran sebagai pegawai polis atau phone scam dan pelaburan tidak wujud (secara dalam talian).

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pada Jumaat dan semalam, pihaknya telah menerima dua laporan polis oleh dua individu terbabit yang menjadi mangsa penipuan.

Katanya, mangsa pertama, wanita warga tempatan berusia 45 tahun dan bekerja sebagai kerani syarikat swasta, mendakwa pada awal bulan lalu telah menerima panggilan telefon daripada individu memperkenal diri sebagai pegawai polis.

“Dia diberitahu yang akaun banknya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan menawarkan untuk membantunya. Mangsa diarahkan untuk menyerahkan butiran akaun bank yang dimilikinya termasuk akses kepada perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada suspek sementara ‘siasatan polis kes dijalankan’.

“Mangsa kemudiannya mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan itu. Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan setelah mendapati wang berjumlah RM1,086,350 telah dikeluarkan dari akaunnya dan suspek gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pada Jumaat dan semalam, pihaknya telah menerima dua laporan polis oleh dua individu terbabit yang menjadi mangsa penipuan. – Gambar Facebook, 31 Disember, 2023

Bagi kes kedua pula katanya, mangsa iaitu lelaki warga tempatan berusia 70 tahun dan merupakan pesara syarikat swasta, melaporkan pada September lalu telah menerima panggilan telefon daripada ‘pekerja’ sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Katanya, pada peringkat awal, mangsa telah cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan.

“Ini menyebabkan mangsa percaya dengan skim pelaburan tersebut dan membuat pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan kerana pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain,” katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan. – 31 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-tahun-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

House arrests been granted before so don’t pull wool over our eyes: Shafee

Datuk Seri Najib Razak's lawyer points to precedent in Kenneth Lee's murder case, provisions in Prisons Act

Related