KUALA LUMPUR – Himpunan Kepung Demi Palestin bakal sampai ke kemuncaknya malam ini, menjelang sambutan Tahun Baharu 2024, dengan jangkaan kehadiran beberapa pemimpin utama kerajaan dan parti politik termasuk aktivis kemanusiaan, demi menyemarakkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Melalui poster yang dikongsi Setiausaha Agung Parti Ikatan Demoratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi di laman X, antara yang akan hadir adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ia juga dijangka disertai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Parti Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arulchelvan.
Himpunan bermula jam 8 malam di depan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak.
Menurut Amir, selain persembahan dan ucapan, turut diadakan sesi siaran langsung bersama rakyat Palestin di Gaza.
Turut sama berhimpun, Sekretariat Solidariti Palestin, Datuk S. Ambiga dan Pengerusi Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Mohd. Nazari Ismail.
Baru-baru ini, penganjur bersama Sekretariat Solidariti Palestin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua menyeru semua rakyat Malaysia agar mengorbankan sambutan tahun baharu dengan menyertai ‘grand finale’ himpunan itu bagi memberikan desakan terhadap AS supaya segera melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
“Orang lain mungkin nak pergi shopping untuk countdown new year, nak tengok bunga api.
“Tapi saya seru rakyat Malaysia yang bersemangat solidariti, korbanlah satu hari untuk Palestin.
“New year ini kita batal countdown dan datang sini! Kita bersungguh-sungguh isytihar untuk perjuangan hak kebebasan rakyat Palestin!” katanya. – 31 Disember, 2023