KUALA LUMPUR – Polis giat memburu suspek kes samun membabitkan dua lelaki, sehingga mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa dalam kejadian di Jalan Persiaran Pegaga, Klang, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superitendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan samun berkawan dan mendatangkan kecederaan.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat.
“Polis Klang Selatan memandang serius kejadian ini dan sudah menggerakkan semua elemen agar suspek yang terbabit dapat ditangkap dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pada kira-kira jam 7.20 petang semalam, pihaknya menerima satu laporan polis daripada mangsa, iaitu warga tempatan berumur 40 tahun menyatakan semasa memberhentikan keretanya di lokasi berkenaan sekitar 2.50 petang kelmarin, dia disamun dua lelaki tidak dikenali.
“Hasil siasatan mendapati pada 29 Disember 2023 pada kira-kiran jam 2 petang, mangsa mengeluarkan sejumlah wang tunai dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Meru, Klang.
“Dia yang menaiki kereta jenis Mercedes warna hitam menghala ke kawasan Bukit Tinggi untuk berjumpa dengan rakannya,” katanya.
Kamalariffin berkata, semasa mangsa memberhentikan kereta di lokasi berkenaan, tiba-tiba datang dua lelaki tidak kenali memecahkan cermin pintu kereta pemandu dan penumpang hadapan.
“Seorang suspek dipercayai menggunakan kayu besbol untuk memecahkan cermin pintu penumpang hadapan, manakala seorang lagi memecahkan cermin pintu pemandu menggunakan sebilah parang.
“Selepas cermin pintu pemandu dipecahkan, suspek memaksa mangsa untuk menyerahkan beg komputer riba,” katanya.
Menurutnya, disebabkan ketakutan, mangsa menyerahkan beg komputer riba terbabit dan suspek melarikan diri menggunakan kereta jenis Toyota Yaris warna silver.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa patah tulang jari ketiga tangan kiri dan luka calar di lengan kanan.
Mangsa, ujarnya, dirawat di Pusat Perubatan Bukit Tinggi dan kerugian dianggarkan adalah sebanyak RM6,000, iaitu kehilangan komputer riba dan kerosakan cermin pintu di kedua-dua bahagian.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis juga terkesan satu rakaman mengenai kejadian ini yang sedang tular dalam media sosial, jadi orang awam dinasihatkan agar tidak menularkan video terbabit bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan, pengguna media sosial dikejutkan dengan video memaparkan seorang pemandu kereta ‘diserang’ dua individu berparang dalam kejadian itu.
Menerusi video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial, kereta dipandu lelaki itu sedang berhenti di lampu isyarat merah, sebelum didatangi kedua-dua suspek yang berpakaian serba hitam, termasuk hoodie dan pelitup muka.
Suspek kemudian bertindak memukul cermin di sebelah pemandu dan di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Mercedes dinaiki mangsa itu untuk memecahkannya, bagi mengambil sebuah beg dipercayai berisi wang.
Video dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain itu, menunjukkan mangsa cuba memandu keluar daripada laluan terbabit bagi menghalang tindakan suspek, namun gagal memandangkan kereta di hadapannya sedang berhenti kerana lampu isyarat masih merah.
Beberapa saat kemudian, seorang daripada suspek berjaya mengambil beg terbabit sebelum kedua-duanya segera melarikan diri.
Lelaki itu kemudian keluar daripada kereta dan disapa beberapa penunggang, sebelum dia masuk semula ke dalam kenderaannya.
Melalui maklumat dikongsi pengguna media sosial, mangsa dikatakan baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang daripada bank, sebelum diserang suspek.
Rata-rata netizen bukan sahaja mengecam tindakan dua lelaki terbabit yang dianggap sangat kurang ajar dan meluahkan simpati terhadap nasib menimpa mangsa, tetapi juga melahirkan kebimbangan dengan kejadian jenayah yang semakin teruk di Klang. – 31 Disember, 2023