Cadangan Koo Ham keterlaluan, polis wajar buka kertas siasatan sebagai pengajaran

Kenyataannya disifatkan sebagai 'bodoh sombong' dan menunjukkan seperti beliau tidak memahami serta menghormati Perlembagaan: Haniff Khatri Abdulla

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan Datuk Ngeh Koo Ham supaya pakar dalam kalangan bukan Islam dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam, dianggap tindakan biadap dan keterlaluan.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangan itu seolah-olah menunjukkan Ahli Parlimen Beruas terbabit cuba mencampuri undang-undang Mahkamah Syariah, meskipun ia sama sekali tidak membabitkan mana-mana golongan bukan Islam.

Justeru, beliau menegaskan, pihak polis wajar membuka kertas siasatan terhadap Koo Ham susulan cadangan berkenaan.

Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangan Ngeh Koo Ham secara tidak langsung seolah-olah mempertikaikan kredibiti ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN – Gambar Facebook Haniff Khatri Abdulla, 31 Disember, 2023

“Kenyataan mengenai cadangan yang dikeluarkan Ngeh (Koo Ham) itu adalah biadap dan melampau!

“Pihak berkuasa boleh membuka kertas siasatan dan menyiasat Ngeh di bawah Akta Hasutan 1948 agar ia menjadi pengajaran kepada pemimpin agar jangan celupar sombong, biadap dan rasisme apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan.

“Kenyataan beliau boleh menimbulkan keresahan, kemarahan dan perbalahan di antara kaum yang mana sepatutnya, orang bukan Islam tak perlu mencampuri undang-undang Mahkamah Syariah kerana undang-undang itu tidak tertakluk kepada mereka,” katanya kepada Scoop.

Haniff berkata, cadangan Koo Ham itu juga secara tidak langsung seolah-olah mempertikaikan kredibiti ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN.

Malah, kenyataan disifatkan ‘bodoh sombong’ disuarakan Koo Ham itu juga, tegasnya, menunjukkan seperti beliau tidak memahami serta menghormati Perlembagaan yang menetapkan hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

“Apabila Ngeh mencadangkan orang bukan Islam dalam jawatankuasa terbabit, secara tersirat adakah dia mempersoalkan mengenai pelantikan ahlinya, dengan mengatakan mereka ini tidak layak dan bijak?” katanya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Prof Madya Muhammad Fathi Yusof berpandangan, tiada keperluan untuk orang bukan Islam menyertai jawatankuasa terbabit.

Namun, beliau berpendapat rundingan mungkin boleh dilakukan di antara orang bukan Islam, sekiranya mereka ingin memberikan buah fikiran berhubung undang-undang berkaitan perkahwinan campur atas pertukaran agama.

Prof Madya Muhammad Fathi Yusof berpendapat, jika jawatankuasa itu memerlukan pandangan masyarakat bukan Islam, memadai dengan cara rundingan ataupun sesi pertemuan tanpa melibatkan keanggotaan – Gambar Facebook Dr Fathi Yusof, 31 Disember, 2023

“Saya melihat tiada keperluan untuk melantik wakil bukan Islam dalam jawatankuasa berkenaan.

“Jika (perlu) pandangan masyarakat bukan Islam, memadai dengan cara rundingan ataupun sesi pertemuan tanpa melibatkan keanggotaan dalam jawatankuasa itu.

“Contohnya bidang kuasa apabila melibatkan pasangan berbeza agama atau kes pertukaran agama yang ada mungkin membabitkan mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya.

Terdahulu, Koo Ham memberikan cadangan supaya kerajaan melantik pakar dalam kalangan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN menggubal undang-undang Islam, sekali gus mencetuskan polemik.

Ia turut mendapat teguran keras Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah mengingatkan pemimpin politik dan rakyat, khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati serta tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Islam di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata, Koo Ham wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau, khususnya berhubung isu hal ehwal Islam kerana pemimpin DAP itu pernah beberapa kali mencetuskan polemik yang berlegar pada skop sama sebelum ini.

Ujarnya, sebagai pengamal undang-undang berpengalaman, sewajarnya pandangan dan komentar sedemikian tidak mempunyai keperluan untuk dipertimbang, malah tiada kepentingan dilontar sebagai sebuah topik perbincangan.

Koo Ham kemudian memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Pemimpin DAP terbabit berkata, beliau mengemukakan cadangan itu kerana menjangkakan jawatankuasa berkenaan akan memasukkannya untuk meminda Perlembagaan. – 30 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Gopeng says goodbye to beloved 111-year-old soy sauce factory Hup Teck

For over a century, Uncle Tong’s family kept culinary heritage alive with all-natural, sun-fermented soy sauce crafted in age-old earthen pots, a tradition which started in 1914

Related