Langkah Dubai propaganda politik murahan, cerita dongeng, ‘cukuplah, rakyat sudah muak’

Penganalisis politik menganggap ia bertujuan memburukkan kerajaan dan mengganggu kestabilan politik negara

9:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Ura-ura kononnya wujud komplot Langkah Dubai yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap sekadar propaganda politik murahan.

Penganalisis politik, Datuk Jeniri Amir berkata, komplot dan matlamat Langkah Dubai tidak akan terlaksana kerana pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan tetap teguh berdiri di belakang Perdana Menteri.

Malah, katanya, Langkah Dubai sengaja dimainkan pihak tertentu untuk melemahkan serta menganggu-gugat kerajaan pimpinan Anwar sekarang.

“Kalau betul benda ini, kenapa sebelumnya ada lima ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri…itu tandanya ramai orang sudah mula nampak hala tuju kepimpinan Anwar sepanjang memerintah negara sejak setahun lalu.

Datuk Jeniri Amir berkata, Langkah Dubai sengaja dimainkan pihak tertentu untuk melemahkan serta menganggu-gugat kerajaan pimpinan Anwar sekarang – Gambar laman web MPI, 30 Disember, 2023

“Saya bagi contoh, katakan sebahagian besar pemimpin Umno bakal berpaling tadah menyokong Langkah Dubai…saya tak rasakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan puak-puaknya akan menyokong untuk berada di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi musuh politik mereka,” katanya kepada Scoop.

Jeniri berkata, situasi panik dan huru-hara yang cuba ditimbulkan pihak tertentu itu, boleh memberi kesan besar terhadap reputasi negara, termasuk sektor ekonomi yang kini semakin berkembang pulih di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya, jika isu politik negatif negara sering dimainkan dan aspek terbabit nampak tidak stabil, sukar untuk menarik keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Beliau turut percaya rakyat sudah muak dengan permainan politik seperti itu, sekali gus menggambarkan seolah-olah pembangkang tidak menghormati hak mutlak rakyat yang sudah mengundi untuk memilih kerajaan dimahukan.

“Demi memenuhi kerasukan kuasa, mereka sanggup mengabaikan masa depan negara dan rakyat. Sepatutnya, mainkan peranan kalian sebagai pembangkang dengan baik demi pembangunan negara ke arah lebih maju dan harmoni,” katanya.

Situasi panik dan huru-hara yang cuba ditimbulkan pihak tertentu itu, boleh memberi kesan besar terhadap reputasi negara, termasuk sektor ekonomi yang kini semakin berkembang pulih di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan – Gambar Scoop, 30 Disember, 2023

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi turut memberikan pandangan senada dengan menyifatkan Langkah Dubai adalah naratif dongeng pihak tertentu untuk memburuk dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Menurutnya, jika Langkah Dubai itu didapati daripada sumber Perikatan Nasional (PN), beliau menganggap ia mungkin cerita rekaan pembangkang.

Awang Azman juga meminta pihak yang mencetuskan isu Langkah Dubai itu atau cuba memburukkan Kerajaan Perpaduan, supaya berhenti daripada berbuat demikian demi kebaikan politik negara.

“Cukup-cukuplah dengan agenda mereka untuk cuba mengganggu ketenteraman negara dan orang ramai.

“Sepatutnya mereka perlu memainkan peranan untuk membantu menambah baik prestasi negara untuk kemajuan masa depan.

“Sekarang tengah hangat dengan isu banjir, itu yang sepatutnya diberi perhatian oleh mereka,” katanya.

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, pihak yang mencetuskan Langkah Dubai sepatutnya memainkan peranan untuk membantu menambah baik prestasi negara untuk kemajuan masa depan – Gambar laman web UM, 30 Disember, 2023

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya pembangkang benar-benar ‘mahukan’ kuasa, mereka perlu menggunakan saluran betul dengan menunggu empat tahun lagi untuk tujuan berkenaan, daripada terus berusaha menjatuhkan kerajaan pentadbiran sekarang.

“Bersabarlah untuk empat tahun lagi, gunakan saluran betul dan harus gunakan landasan demokrasi tepat.

“Jangan ‘tebuk atap’ seperti yang mereka pernah katakan sebelum ini, kalau lakukan juga, inilah hipokrasi sebenar,” katanya.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom), Datuk Ismail Yusop mendakwa terdapat komplot Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang, termasuk beberapa ahli parti politik kerajaan, dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ismail berkata, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan daripada pihak kerajaan itu di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Menurut Datuk Ismail Yusop, Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan daripada pihak kerajaan itu di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini – Gambar Instagram, 30 Disember, 2023

Pertemuan itu didakwa berlangsung untuk berunding, selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar. – 30 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related