KUALA LUMPUR – Afrika Selatan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding terhadap rejim zionis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, atas jenayah melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid ke atas rakyat Palestin.
Menurut kenyataan ICJ, negara itu dalam permohonannya menegaskan Israel telah mencabuli kewajibannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid susulan situasi rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
ICJ memaklumkan, dalam permohonan itu juga, Afrika Selatan menarik perhatian umum bahawa Israel mungkin melakukan tindakan sama pada masa depan.

“Oleh itu Afrika Selatan meminta ICJ mengeluarkan arahan sementara kepada Israel supaya menghentikan serangannya di Gaza.
“Negara itu turut menuntut mahkamah untuk melindungi hak-hak rakyat Palestin daripada sebarang kemudaratan,” katanya.
Kata ICJ, dalam permohonan itu, Afrika Selatan memaklumkan tindakan Israel adalah jelas satu bentuk genosid kerana ia dilakukan dengan ‘niat khusus’ untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza.
Katanya, Afrika Selatan selanjutnya menyatakan Israel sejak 7 Oktober lalu telah gagal ‘mencegah’ melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Israel telah terlibat dan berisiko untuk terus terlibat dalam tindakan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza,” kata ICJ merujuk permohonan itu.
Bagaimana belum ada tarikh ditetapkan bagi ICJ mendengar kes tersebut. – 30 Disember, 2023