KUALA LUMPUR – Sokongan berterusan Malaysia dalam perjuangan terhadap hak rakyat Palestin perlu diangkat di peringkat antarabangsa termasuk usaha boikot yang mula memberikan kesan kepada syarikat-syarikat pro-Israel.
Rakyat Palestin yang berasal dari Gaza, Heba Shehab, 21, terharu dan bersyukur dengan keprihatinan ditunjukkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Katanya, sebagai warga Gaza, apa yang dilihatnya adalah pendirian rakyat Malaysia terhadap Palestin bukan bermula hari ini sebaliknya sejak dulu lagi sudah bersama-sama dengan perjuangan menentang kezaliman zionis.

“Mereka (rakyat Malaysia) sentiasa memperjuang keadilan untuk kami.
“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Scoop pada malam keempat piket Kepung Demi Palestin yang diadakan di Jalan Tun Razak, di sini.
Pelajar jurusan Seni Bina dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga menyatakan kekecewaannya terhadap Amerika Syarikat (AS) yang seolah-olah ‘buta’ dengan kekejaman Israel yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 20,000 penduduk Palestin.
“Amerika Syarikat sebelum ini sentiasa memperjuang hak asasi manusia namun bila melibatkan rakyat Palestin mereka seolah-olah membutakan mata.
“Mereka bekalkan Israel dengan senjata berteknologi tinggi dan sebagainya.
“Memang saya sangat kecewa dengan perspektif dwistandard yang ditunjukkan Amerika,” katanya.
Heba berkata, usaha boikot yang dibuat rakyat Malaysia sudah mula memberi kesan kepada kebanyakan syarikat yang membantu membekalkan dana kepada Israel.
“Saya percaya usaha-usaha ini berhasil seperti boikot contohnya, banyak kedai-kedai yang menyokong Israel kini mula kurang pelanggan sekali gus memberi kesan kepada ekonomi perniagaan mereka.
“Jadi saya berharap lebih ramai lagi dapat datang pada Ahad ini agar suara semua pihak didengari dalam memberi tekanan kepada Kedutaan AS di sini,” katanya.

Piket Kepung Demi Palestin diadakan selama enam hari bermula Selasa lalu demi mendesak AS segera melaksanakan genjatan senjata.
Antara agenda penganjur Sekretariat Solidariti Palestin adalah mendirikan khemah dan bermalam di hadapan Kedutaan AS sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Setakat ini, seramai 21,507 penduduk Palestin terkorban manakala 55,915 orang cedera sejak serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu. – 30 Disember, 2023