AS, Malaysia telah bina perkongsian kukuh berteraskan ekonomi

Edgard kembali ke Malaysia sebagai Duta baharu Amerika Syarikat, teruja untuk memajukan hubungan AS-Malaysia

11:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia telah membina perkongsian yang kukuh berteraskan ekonomi sejak 66 tahun lalu dan dari segi sejarah serta hari ini, syarikat-syarikat AS secara kolektif merupakan pelabur terbesar di negara ini.

Perkara itu ditegaskan Duta AS ke Malaysia yang baharu, Edgard D. Kagan dalam ucapan sulungnya di laman YouTube U.S. Embassy Kuala Lumpur hari ini.

Tiba di negara ini sejak minggu lalu, beliau bakal menggantikan Brian D. McFeeters yang telah berkhidmat di Malaysia sejak Februari 2021.

Menariknya, ucapan beliau itu dimulakan dengan serangkap pantun:
‘Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Nama saya Edgard Kagan,
Saya masih belajar bahasa Melayu.’

Menurutnya, pada tahun lalu, sektor swasta AS melabur lebih RM38 bilion dalam ekonomi Malaysia yang semakin berkembang dan dinamik.

“Syarikat kami mencipta lebih 10,000 pekerjaan bergaji tinggi dan berkemahiran untuk rakyat Malaysia, membantu Malaysia beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dan menyokong komuniti Malaysia, termasuk projek yang memperkasakan anak muda serta wanita dalam sains dan teknologi.

“Saya juga amat berbangga dengan begitu ramai rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang sektor swasta telah bekerja untuk syarikat AS. Kejayaan mereka mencerminkan pelaburan oleh perniagaan AS untuk pekerja mereka dalam mencipta peluang bukan sahaja untuk pemegang saham tetapi juga untuk rakyat Malaysia di sini,” katanya.

Katanya, perkongsian keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang AS dengan Malaysia juga telah berkembang termasuk dalam kerjasama memerangi keganasan, jenayah rentas negara, mengukuhkan keselamatan maritim dan menangani ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.

“Setiap tahun kami menjalankan pelbagai eksesais pertahanan dua hala dan pelbagai hala dengan Malaysia, dan kami benar-benar menghargai perkongsian kukuh yang wujud antara tentera dan pasukan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang kita.

“Hubungan sesama rakyat, terutamanya dalam kalangan belia adalah teras perhubungan kita, dan saya benar-benar kagum setiap kali saya mendengar ramainya rakyat Malaysia belajar di AS, tahu tentang AS, dan saya juga bersyukur apabila saya mendapat tahu tentang rakyat AS yang datang ke sini.

“Dalam kita memulakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif antara negara kita tahun depan, saya berharap untuk membina asas yang kukuh ini dan mengembangkan lagi hubungan kita dalam bidang-bidang utama ini,” katanya.

Terdahulu beliau dan keluarga melahirkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia untuk memulakan perkhidmatan sebagai Duta Besar AS.

“Saya amat berterima kasih kepada Presiden Biden (Joe Biden) dan kepada Setiausaha Blinken (Setiausaha Negara, Antony Blinken) kerana keyakinan mereka memilih saya untuk jawatan ini dan kepada Senat AS. Selama lebih 32 tahun saya telah mewakili AS termasuk 14 tahun bertugas di Indo-Pasifik untuk pengukuhan hubungan dengan sekutu dan rakan kongsi serta memajukan kepentingan strategik AS.

“Dari 2014-2017, saya sangat bertuah dapat berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kuala Lumpur. Jadi saya dan keluarga tahu betapa bertuahnya kami dapat kembali ke Malaysia dengan masyarakatnya yang pelbagai budaya dan ceria, ekonomi yang dinamik dan berkembang, landskap yang cantik, dan paling utama, rakyatnya yang luar biasa.

“Saya tidak sabar untuk melawat lagi tempat-tempat indah di Malaysia yang pernah saya kunjungi untuk menikmati makanan yang lazat, dan mengalami budaya Malaysia yang kaya dan berinteraksi dengan rakyatnya sekali lagi. Saya sangat teruja untuk menerokai semula Malaysia dan sangat teruja untuk mendapatkan nasihat tentang cara kita boleh mengukuhkan hubungan kita dan apa yang saya patut lakukan,” katanya.

Edgard merupakan ahli kerjaya Perkhidmatan Luar Negeri Senior, dan paling terkini merupakan Penolong Khas kepada Presiden dan Pengarah Kanan untuk Asia Timur dan Oseania di Majlis Keselamatan Negara. 

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan AS di New Delhi, India dan di Kuala Lumpur, Malaysia selain Timbalan Penolong Setiausaha di Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Jabatan Negara, Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral AS di Mumbai, India dan Timbalan Pengarah Pejabat Washington bagi Misi AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kerjayanya sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Hal Ehwal Korea dan Pemangku Timbalan Penolong Setiausaha di Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik.

Tugasan luar negara lain termasuk Kaunselor Ekonomi dan kemudian Politik/Ekonomi di Kedutaan AS di Canberra, Australia dan Pegawai Politik dan kemudian Ketua Unit Luar Politik di Kedutaan AS di Beijing, China.

Beliau juga pernah berkhidmat di luar negara di Israel, Hungary, dan Cote d’Ivoire.

Seorang penerima Anugerah Cemerlang Presiden dan pelbagai anugerah prestasi Jabatan Negara yang lain, beliau fasih berbahasa Perancis, Mandarin, Hungary dan sedikit bahasa Sepanyol. 

Beliau yang merupakan graduan cum laude dari Universiti Yale, mendirikan rumah tangga dengan Cynthia Gire. Mereka mempunyai tiga orang anak. – 29 Disember, 2023

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related