KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming telah mengenalpasti penjual Sambal Nyet plagiat dan akan mengambil tindakan ke atas individu terbabit.
Menerusi satu video yang dikongsi di platform X, Khairul Aming berkata peguamnya telah menyerahkan notis tuntutan perlanggaran hak harta intelek dan penghapusan kepada penjual terbabit.
Selain itu, Khairul Aming juga mengemukakan lapan tuntutan dan jika pihak berkenaan gagal memenuhi semua tuntutan tersebut maka kes akan dibawa ke peringkat seterusnya.
“Sambal Nyet telah didaftarkan trademark di MyIPO dan telah diluluskan pada tarikh 2 November 2021,’’ katanya dalam video pendek yang dimuat naik menerusi akaun media sosialnya hari ini.
We have identified the seller and our lawyer has submitted a letter of demand for Infringement of Intellectual Property Rights and Passing Off. Ada lapan tuntutan yang kita telah senaraikan dan jika mereka gagal penuhi kesemua tuntutan tersebut kita akan bawa kes ini ke peringkat… pic.twitter.com/yNyONxBog0
— Khairulaming (@khairulaming) December 28, 2023
Menurut Khairul Aming, ini bukanlah kali pertama Sambal Nyetnya ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kecewa dengan tindakan plagiat terbabit, Khairul Aming berkata seharusnya pihak terbabit tidak melakukan penganiayaan kepada orang lain.
“Saya selalu beri sokongan kepada peniaga kecil tapi berniagalah dengan cara yang beretika dan berhemah. Jangan aniaya orang ramai macam ni,’’ katanya.
Beliau turut menyeru peniaga kecil yang berkemampuan untuk mendaftarkan tanda dagangan (trademark) agar tidak ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Susulan amaran oleh Khairul Aming itu, netizen meluahkan sokongan kepada pempengaruh kesayangan ramai itu.
“Alhamdullilah sekali lagi KA buat teladan bagaimana nak behave profesionally..straight forward buat video ringkas, padat dan address isu-tindakan susulan..xperlu buat sidang media xperlu buat drama nak naikan lagi jenama just straight to the point..semoga rezeki diberkati, ” kata Zaidi.
“Saman Nyet incoming!!!!!,” ujar Fly
Semalam kecoh di media sosial apabila netizen meluahkan kemarahan dengan individu yang meniru Sambal Nyet dan kemudiannya menjual produk terbabit di platform e-dagang.
Netizen meluahkan kemarahan mereka kerana ia mengelirukan dan mencetuskan banyak persoalan.
Mereka marah kenapa produk Khairul Aming ditiru malah pelekat pada botol sambal itu sama dengan produk asal.
Malah seorang pembeli mengaku dia telah terbeli lima botol sambal ‘tiruan’ berkenaan ketika promosi 12.12 lalu.
Pembeli itu berasa sangat marah dan meminta bayaran balik tetapi tidak diendahkan oleh penjual. – 28 Disember, 2023