PUCHONG — Kebimbangan penduduk Taman Wawasan terhadap nasib mereka susulan kejadian tanah runtuh pada 16 Disember lalu akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri termasuk bagi sebarang bantuan lanjut.
Jurucakap Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han dalam mesyuarat bersama agensi berkaitan baru-baru ini.
“Ng Sze Han memaklumkan akan bawa perkara ini ke peringkat kerajaan negeri untuk dibawa dalam mesyuarat bagi melihat keperluan bantuan lanjut kepada penduduk.
“Jadi kita tunggu makluman lanjut mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, pihaknya memahami ada pemilik rumah yang tertanya-tanya apa bentuk bantuan yang mereka akan dapat kesan bencana itu, sama ada pampasan atau sebagainya.
“Itu perkara yang dibangkitkan (penduduk) cuma buat masa ini, ini bencana biasanya kita pun tidak boleh nak beri apa pun sangat sebab ia bencana jadi hanya setakat bantuan bencana awalan.
“Townhall secara bersemuka juga tidak dapat dibuat bersama penduduk ketika ini kerana kita tidak ada maklumat lengkap.
“Mereka risau dengan keadaan rumah yang ada keretakan, perlu menumpang rumah ahli keluarga lain dan saudara-mara selain timbul juga isu pampasan.
“Jadi buat masa ini tidak ada sebarang keputusan yang dapat diberi melainkan bantuan awal tadi. Semua pihak memahami masalah penduduk yang mahu kembali segera ke rumah, namun begitu kita tunggu keputusan lanjut kajian teknikal yang dibuat,” katanya.
Ditanya langkah selanjutnya dalam kerja membaiki tanah dan cerun, beliau berkata, cepat atau lambat projek berkenaan dapat diselesaikan belum dapat dipastikan berikutan keadaan cuaca tidak menentu, selain pergerakan tanah yang masih ada dan kawasan runtuhan yang luas.
“Sekarang fasa dua pemasangan cerucuk sudah dimulakan, jadi langkah selanjutnya ialah semua agensi terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), MBPJ, Jabatan Mineral & Geosains (JMG) perlu berbincang, kongsi maklumat untuk langkah seterusnya.
“Buat masa ini objektifnya nak stabilkan dahulu kawasan tanah itu, tapi secara keseluruhan kalau dilihat kawasan itu, ada loji Indah Water Konsortium (IWK), yang turut terkesan dan salah satu lojinya turut mengalami kerosakan.
“Untuk kita kata selamat atau tidak selamat (kepada penduduk) tidak boleh lagi (dinyatakan), jadi perlu perbincangan lagi, apa-apa perkembangan lanjut kita akan maklum dari masa ke semasa,” katanya.
Penduduk di kawasan tanah runtuh sebelum menzahirkan harapan supaya mereka dapat dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing secepat yang mungkin.
Dalam kejadian 16 Disember lalu itu, 29 penghuni di sembilan rumah teres di situ diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka. – 28 Disember, 2023