KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memanggil agensi termasuk majikan yang terlibat dalam pengambilan 171 pekerja asing dari Bangladesh kerana gagal mendapatkan pekerjaan selepas tiga bulan berada di negara ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan pada minggu ini.
Malah katanya, KSM akan membantu pekerja terlibat bagi mendapatkan pekerjaan sewajarnya.
“Saya tekankan di sini, pengambilan pekerja asing adalah untuk menyokong perjalanan perniagaan dan tidak sepatutnya dijadikan satu ‘perniagaan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menambah baik dasar berkaitan pekerja asing.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan penahanan 171 pekerja asing warga Bangladesh kerana menimbulkan kegusaran awam selepas dirakam berjalan kaki beramai-ramai di kawasan depan simpang dekat Teluk Ramunia Bayu Damai, Kota Tinggi.
Katanya, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi pemeriksaan lanjut susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kejadian tersebut.
“Benar, video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu. Mereka difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan.
“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk Teluk Ramunia Bayu Damai.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 171 lelaki warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 43 tahun ditahan Rabu lalu untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Imigresen di atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Scoop difahamkan mereka berjalan kaki bagi membuat laporan polis ke balai polis berhampiran selepas mendakwa ditipu ejen pekerjaan. – 26 Disember, 2023