KUALA LUMPUR – Kebanjiran pendatang asing sehingga menguasai sesuatu kawasan yang tidak ubah seperti perkampungan mereka sendiri di negara ini adalah kesan daripada tindakan berpuluh tahun lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia bermula dengan kebergantungan kepada golongan tersebut dalam sektor pekerjaan.
Malah katanya, apabila pekerja asing sudah ramai, ada segelintir rakyat tempatan bertindak menyewakan serta memberi lesen dengan cara ‘Ali Baba’ untuk mereka buat perniagaan.
“Isu ini isu negara, bukan isu pendatang asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita (warga tempatan) tak nak buat kerja dalam industri tertentu.
“Sebahagiannya soal gaji, tetapi dengan gaji minimum, gajinya lebih berdaya saing berbanding dulu. (Apa) yang berlaku sekarang adalah kesan daripada berpuluh tahun yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, langkah-langkah sedang diambil ketika ini bagi membendung situasi semasa termasuk reformasi pasaran kerja.

“Ia merangkumi gaji progresif, latihan dalam industri serta memuktamadkan kebergantungan pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL).
“Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2023 (dalam Rancangan Malaysia Ke-13),” katanya.
Katanya, Akta Anti-Ali Baba akan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang ‘mengalibabakan’ lesen kepada pekerja asing tanpa menepati syarat-syarat.
“Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing,” katanya.
Dalam pada itu beliau ketika memberi maklum balas terhadap persoalan orang ramai di laman X mengenai cadangan mewujudkan cukai baru untuk pekerja asing berkata, negara mungkin terikat kepada perjanjian antarabangsa dan piawaian di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jadi tidak boleh sewenang-wenangnya tanpa rujuk kepada peraturan antarabangsa.
Kita mungkin terikat kepada perjanjian antarabangsa dan piawai di bawah International Labour Organisation, jadi tidak boleh sewenang-wenangnya tanpa rujuk kepada peraturan antarabangsa
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 25, 2023
Kepada soalan supaya kerajaan menghentikan pengambilan pekerja asing, katanya, kerajaan sudah bertindak sedemikian tetapi permit sedia ada dan pekerja yang sudah ada ketika ini tetap ramai.
“Belum kira yang sudah luput permit tetapi tidak balik. Inilah cabaran agensi penguat kuasa sepanjang masa,” katanya.
Memang sudah stop tetapi permit sedia ada dan pekerja yg sudah ada tetap ramai.
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 25, 2023
Belum kira yang dah luput permit tetapi tidak balik.
Inilah cabaran agensi penguatkuasa sepanjang masa.
It’s a long and winding road to resolve this and to be fair to every stakeholder.
Baru-baru ini, satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah bagi menggempur dan ‘membersih’ penempatan warga asing di Jalan Silang di sini.
Tinjauan mendapati, dalam operasi yang bermula kira-kira 11 pagi itu, dianggarkan 1,000 pegawai dan anggota pasukan lengkap bersenjata menyerbu sarang penempatan warga asing yang menjadikan kawasan tersebut tidak ubah seperti perkampungan mereka sendiri.
Ini termasuk membuka premis perniagaan yang menjual barangan dari negara mereka selain menjadikan premis di kawasan itu sebagai tempat kediaman dengan tidak menjaga kebersihan sehingga menimbulkan bau busuk.
Biarpun ada cuba menyembunyikan diri, namun pemeriksaan teliti dari premis ke premis di empat blok di lokasi berkenaan selain kepungan besar-besaran, menyebabkan banyak warga asing yang kebanyakannya warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal tidak sempat melarikan diri. – 25 Disember, 2023